BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sudah menutup bidaan jam tangan berjenama Rolex yang mencecah RM135,000 pada pukul 12 tengah malam Selasa.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook beliau pada Rabu, Dr Zulkifli sempat berkongsi tentang nilai bidaan tertinggi barang tersebut.
"Bidaan jam Rolex untuk Palestin telah tamat. Terima kasih kepada pembida yang telah membida. Jumlah bidaan yang tertinggi adalah RM135,000," katanya.
Menerusi hantaran itu, Dr Zulkifli memberitahu akan mengumumkan nama pemenang bidaan tersebut pada Rabu.
Pada Selasa, Dr Zulkifli dilaporkan melelong dan membuka bidaan jam tangan kesayangannya itu di platform Facebook selama dua hari bermula Isnin untuk didermakan sepenuhnya kepada rakyat Palestin.
Pada masa sama, beliau menyatakan bahawa harga permulaan bidaan jam tangan mewah pemberian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud itu adalah sebanyak RM40,000. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram