NILAI bidaan jam tangan mewah jenama Rolex milik bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dilelong bagi membantu penduduk Palestin kini mencecah RM131,000 setakat pagi Selasa.
Perkembangan itu dimaklumkan sendiri Dr Zulkifli yang juga Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di ruangan komen hantaran Facebooknya.
"Makluman terkini, pukul 9.33 pagi Selasa, bidaan tertinggi adalah sebanyak RM 131,000," tulisnya ringkas.
Pada Isnin, Dr Zulkifli menerusi hantaran di Facebooknya berkata, beliau membuka bidaan jam yang disifatkan sebagai barangan kesayangannya itu bagi membolehkannya mendermakan keseluruhan hasil diperoleh kepada penduduk Palestin.
Bidaan jam tangan yang merupakan pemberian daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud itu dibuka bermula RM40,000 dengan tempoh lelongan berlangsung sehingga 12 tengah malam Selasa.
Bercerita lanjut mengenai jam berkenaan, Zulkifli berkata, beliau menerima jam berkenaan pada Februari 2017.
Menurutnya, beliau sebelum itu diminta oleh Kerajaan Malaysia memberikan ucapan di hadapan Raja Saudi, Raja Salman Abdulaziz yang ketika itu melakukan kunjungan hormatnya ke Malaysia.
"Beberapa hari selepas majlis berkenaan di St Regis Hotel, saya dihubungi pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia. Ada cenderamata yang dikirimkan daripada Raja Saudi kepada saya.
"Lantas saya minta pegawai saya untuk mengambilnya. Saya tidak buka kotak cenderamata tersebut. Ia disimpan di pejabat saya di Putrajaya, sehinggalah saya dilantik sebagai Menteri.
"Semasa saya menjawat jawatan menteri, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat kedua saya di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur. Apabila saya meletakkan jawatan sebagai menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadi saya.
"Di sana, barulah saya membukanya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi," ujar beliau.
Zulkifli berkata, beliau menjunjung kasih Raja Salman atas pemberian tersebut yang disifatkannya amat bermakna.
"Titah Baginda untuk sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama sentiasa akan saya semat dalam hati.
"Dengan menjunjung titah tersebut dan meraikan kesungguhan Kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan bilion dollar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan saya ini dengan harga tapak RM40,000.
"Kenaikan bermula RM100 ke atas. Hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram