Derma bantuan Palestin, bekas menteri buka tapak bidaan RM40,000, jual jam Rolex di Facebook


  • Massa
  • Isnin, 30 Okt 2023

Zulkilfi Mohamad Al-Bakri membuka bidaan jam mewah berjenama Rolex di laman Facebooknya untuk didermakan kepada Palestin.

SEBAGAI bantuan derma kepada Palestin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkilfi Mohamad Al-Bakri melelong jam mewah berjenama Rolex miliknya di laman Facebook.

Menurutnya, jam tangan itu merupakan hadiah pemberian daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang diterima pada 2017, namun ia hanya dibuka selepas beliau meletakkan jawatan sebagai menteri pada 2021.

"Kisahnya bermula pada Februari 2017 apabila saya mendapat panggilan mengejut ketika sedang menghadiri mesyuarat sebagai Panel Penasihat Syariah Bank Negara," ujarnya.

Jelasnya, beliau ketika itu diminta oleh kerajaan Malaysia selaku Mufti Wilayah Persekutuan untuk mewakili semua mufti dan ulama di negara ini menyampaikan ucapan di hadapan Raja Saudi, Raja Salman dalam kunjungan hormatnya ke Malaysia.

Tambahnya, beberapa hari selepas majlis berkenaan, beliau dihubungi Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia mengenai hadiah daripada kerabat diraja itu.

rollll

Jam mewah berjenama Rolex yang dilelong oleh Dr Zulkilfi Mohamad Al-Bakri di laman Facebook.

"Saya tidak buka kotak cenderamata tersebut, ia disimpan di pejabat saya di Putrajaya, sehinggalah saya dilantik sebagai Menteri.

"Semasa saya menjawat jawatan Menteri, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat kedua saya di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur.

"Apabila saya meletakkan jawatan sebagai Menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadi saya.

"Di sana, barulah saya membukanya dan memakainya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi,” katanya di laman Facebook pada Isnin.

Meraikan kesungguhan kerajaan Arab Saudi dalam menyalurkan sumbangan bilion dolar kepada Palestin saban tahun, beliau membuka bidaan jam Rolex kesayangannya dengan harga tapak RM40,000.

"Kenaikan bermula RM100 ke atas. Hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana.

"Saya buka kepada yang berminat, untuk membida di ruang komen," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram