Selain telur dan ayam, ketahui sejarah kenaikan harga barang asas di Malaysia


  • Massa
  • Isnin, 30 Okt 2023

Ketahui senarai jenis barang mentah dan barangan asas yang mengalami kenaikan harga sejak lebih lima tahun lalu. — Gambar hiasan

SUDAH lelah rasanya untuk masyarakat mengeluh tentang isu harga barang mentah dan barangan asas yang saban hari semakin naik seperti tiada bayang-bayang untuk turun di Malaysia ini.

Isu yang semakin hari dilihat sebagai perkara normal itu sememangnya menimbulkan kegusaran dan kebimbangan orang ramai terutama para peniaga kecil.

Hal ini kerana, berdasarkan data Harga Indeks Pengguna (IHP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2022, kuasa beli pengguna dilaporkan akan terus menurun pada bulan-bulan akan mendatang yang berpunca daripada kenaikan harga barangan keperluan.

Ia jelas menjadi salah satu isu yang menjadi polemik terbaharu masyarakat yang juga memberi impak terutama kepada golongan B40 dan M40 yang tinggal di bandar besar.

Namun, tahukah anda bahawa terdapat juga barangan asas lain selain barangan mentah seperti ayam dan telur yang sebenarnya sudah mengalami kenaikan harga sejak lebih lima tahun yang lalu?

Justeru, berikut merupakan senarai yang merangkumi beberapa jenis barangan mentah dan barangan asas yang mengalami krisis kenaikan harga:

1. Beras

msg1050426791-18159

Kenaikan harga terutama beras import yang mengejutkan masyarakat Malaysia. — Bernama

Bila sebut sahaja tentang beras, pasti ramai yang akan mengaitkannya dengan kenaikan harga yang mendadak ketika ini.

Seperti bahan asas lain, beras juga mengalami krisis sama dan dilihat menjadi punca utama kepada isu-isu lain seperti pembelian panik dan aktiviti menyorok beras yang berlaku baru-baru ini.

Krisis yang berlaku pada ketika ini sememangnya bukan pertama kali kerana Malaysia dilaporkan telah melalui beberapa masalah yang melibatkan harga beras iaitu pada 1971, 1980-an, 2008 dan terbaharu 2023.

Berdasarkan informasi yang dikongsikan oleh media tempatan, krisis harga tersebut berpunca daripada dua faktor iaitu fundamental merujuk permintaan dan penawaran serta faktor teknikal.

Krisis yang berlaku pada ketiga-tiga tahun itu juga dikatakan berpunca daripada faktor global termasuk perubahan cuaca yang menjejaskan pasaran bijirin dunia.

Bagaimanapun, Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azman Mahmood menjelaskan bahawa kenaikan harga beras terutama beras putih import dapat memberi manfaat kepada industri padi dan beras negara.

Katanya, kenaikan harga beras putih import di seluruh negara susulan penyelarasan harga yang dibuat oleh Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) menyebabkan pengguna kini lebih cenderung membeli beras putih tempatan yang dijual pada harga terkawal iaitu sekitar RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit.

Bukan itu sahaja, kenaikan harga beras import daripada RM33 kepada RM39 juga dikatakan menjadi sebuah fenomena kerana pada 2021, beras tempatan tiada permintaan tinggi seperti yang diimport.

2. Gula

msg1050426791-18158

Gula juga tersenarai dalam jenis barangan asas yang mengalami kenaikan harga. — Bernama

Tidak ketinggalan, gula juga termasuk dalam senarai ini kerana mungkin ramai yang mengelakkan pengambilan gula untuk menjaga kesihatan.

Namun, ia memberi impak yang besar terutama dalam industri pembuatan makanan atau minuman bergula di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Holdings Berhad, Syed Faizal Syed Mohammad, kali terakhir harga kawalan gula bertapis dinaikkan sebanyak 11 sen pada 2017.

Ini bermakna kenaikan harga gula tersebut sudah berlaku sejak 11 tahun yang lalu lagi walaupun berlaku penurunan harga pada 2018 iaitu sebanyak 10 sen sekilogram.

Manakala, harga gula dunia turut dilaporkan melonjak tinggi sejak hampir 13 tahun akibat fenomena El Nino yang melanda negara pengeluar barang asas iaitu di India dan Thailand.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), walaupun harga makanan dunia stabil secara keseluruhan pada Julai 2023, namun indeks harga gula FAO meningkat sebanyak 9.8 peratus berbanding Ogos 2023.

FAO yang merupakan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyatakan jumlah itu merupakan jumlah tertinggi sejak November 2010 lagi.

PBB menambah bahawa harga minyak mentah antarabangsa yang lebih tinggi juga menyumbang kepada kenaikan harga gula di seluruh dunia.

Bagaimanapun, harga gula yang dijual di pasaran Malaysia dikatakan antara yang terendah iaitu RM2.85 berbanding di luar negara.

3. Gas memasak atau LPG

msg1050426791-18160

Gas memasak atau LPG mengalami kenaikan harga walaupun masih dalam keadaan terkawal. — Bernama

Proses membuat makanan bukan sahaja memerlukan bahan mentah, malah ia juga melibatkan tenaga bahan api seperti gas.

Tetapi, bukan hanya cecair gas itu sahaja yang diambil kira, tong besi yang digunakan termasuk dalam kos keseluruhan yang menjadi sebuah harga jualan.

Pastinya ada yang tidak tahu atau tidak peka dengan kenaikan harga yang berlaku pada barang asas tersebut kan?

Sebenarnya harga gas memasak atau tong gas cecair petroleum (LPG) sudah meningkat sejak 2008 lagi daripada RM16 naik ke RM21 dan dikatakan sehingga mencecah RM25 satu tong mengikut kedai berbeza.

Manakala ia dilihat terus meningkat sehingga kini iaitu sebanyak RM26.50 bagi tong seberat 14kg.

Harga tersebut juga ditetapkan oleh kerajaan dan diwartakan melalui Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan 2011.

4. Tepung gandum

msg1050426791-18149

Tepung gandum juga tergolong dalam jenis barang mentah yang mengalami kenaikan harga. — Gambar hiasan

Tidak hanya itu, kenaikan harga barang mentah jenis kering seperti tepung juga tanpa sedar mengalami kenaikan harga sejak lima tahun lepas lagi.

Kebanyakan makanan di Malaysia juga menggunakan tepung dan kenaikan harga bahan itu sekali gus membebankan masyarakat dalam menyediakan hidangan makanan setiap hari.

Ramai peniaga tempatan yang turut terjejas lebih-lebih lagi pengusaha makanan berasaskan tepung seperti roti canai, kuih-muih dan gorengan tepung.

Pada 2019, seguni tepung gandum bersamaan 25 kilogram yang berharga RM43 dilaporkan naik sehingga RM51 manakala ia dilihat terus meningkat kepada RM62 dengan berat yang sama pada 2022.

Menerusi tinjauan yang dilakukan oleh media tempatan, walaupun harga barang tersebut masih dalam terkawal namun harganya mengalami peningkatan sebanyak 20 hingga 30 sen sekilogram pada tahun yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram