Bekalan mentah tiba-tiba ‘hilang’ setiap kali harga naik, rakyat kemuka 3 faktor kritikal


  • Massa
  • Selasa, 19 Sep 2023

Kenaikan harga barangan mentah menyebabkan rakyat kian resah dan sukar menampung kos sara hidup harian.

ISU kenaikan harga bekalan mentah tidak pernah lekang di bibir masyarakat Malaysia dengan permasalahan itu kian meruncing kebelakangan ini.

Ditambah pula dengan bekalan yang semakin berkurangan dan sukar untuk didapati di pasaran ketika ini, ia sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dan persoalan sejauh manakah rakyat akan terus berdepan dengan situasi terbabit.

Ironinya, kedua-dua masalah berkenaan boleh dikatakan saling berkait rapat dengan ia merupakan antara isu yang sudah lama berlarutan dan tiada penyelesaiannya hingga ke hari ini.

Sebagai contoh, kenaikan harga barangan mentah sering kali menyebabkan isu kekurangan jumlah bekalan dan kuantiti bagi memenuhi kehendak pasaran.

Untuk rekod, ayam, telur dan gula merupakan antara kategori bahan mentah yang pernah terpalit dengan isu tersebut dan terbaharu, beras tempatan turut dikaitkan dengan masalah sama.

Apakah punca utama dan faktor pendorong kepada isu ini? Luahan rakyat di laman media menunjukkan tiga penyebab utama yang menyumbang kepada masalah berbangkit.

1. Monopoli warga asing

Lambakan warga asing dalam negara tidak dapat dinafikan lagi dengan sektor pembinaan dan kilang menjadi sumber kewangan utama golongan terbabit di Malaysia.

Namun, lebih merisaukan adalah apabila keistimewaan subsidi bekalan makanan oleh kerajaan buat penduduk tempatan turut dinikmati pendatang asing di negara ini.

Kawalan serta pemantauan yang lemah daripada pihak kerajaan telah menyebabkan mereka berani untuk melanggar undang-undang ditetapkan khususnya dalam urusan pembelian bahan mentah.

pakett

Pembelian minyak masak paket dihadkan kepada tiga unit sahaja untuk setiap pelanggan. — Bernama

Untuk rekod, sebelum ini tular satu berita memaparkan kegiatan mendakwa warga asing membeli minyak masak paket bersubsidi satu kilogram dalam jumlah yang banyak, melebihi kebiasaan yang ditetapkan kerajaan dan peruncit.

Sebelum ini pihak berkuasa memutuskan untuk membenarkan penjual runcit mengenakan had pembelian minyak masak pek polybag satu kilogram sebanyak tiga unit per transaksi untuk setiap pelanggan.

Kebenaran penetapan had pembelian tersebut berkuat kuasa pada Januari 2021, bertujuan memastikan lebih ramai pengguna berpeluang mendapatkan minyak masak diberikan subsidi kerajaan.

2. Taktik peniaga sorok barang

Segelintir pihak turut mendakwa sikap tamak dan tidak bertanggungjawab pembekal yang menyimpan stok bekalan demi mengaut keuntungan lebih adalah antara punca utama dalam isu ini.

Kenaikan harga barangan menyebabkan sesetengah pembekal bertindak menyimpan barangan berkaitan sama ada untuk dijual dengan harga tinggi ataupun kegunaan sendiri.

Ia sekali gus mengakibatkan pengguna sukar untuk menerima bahan mentah dengan stok kian terhad di pasaran mahupun daripada pembekal.

Individu peniaga ataupun pembekal yang ditangkap menyorokkan barang kawalan akan dikenakan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan si pelaku boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

3. Sistem import/eksport tidak terkawal

Umum mengetahui sawah padi merupakan antara tanaman terbesar di Malayia yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Bertitik tolak daripada itu, beras yang dihasilkan turut terbahagi kepada dua kategori iaitu beras tempatan dan import yang dikhususkan untuk negara luar.

Namun, dengan perubahan iklim yang merosakkan tanaman-tanaman khususnya padi dalam negara pengeksport beras seperti India dan Thailand ketika ini, Malaysia sewajarnya mengambil langkah sama seperti India yang terus menyekat pengeluaran eksport demi kepentingan rakyatnya.

6f9bf86918e17b959b0419b51eb7bc745e53a7f1f2b64

Malaysia memiliki beberapa kawasan pengeluar padi antaranya di negeri Utara, Pantai Timur dan Selangor. — Bernama

Meskipun Malaysia merupakan negara penghasil beras, namun kadar pengeluaran diperoleh masih tidak memenuhi tahap yang diperlukan oleh rakyat Malaysia iaitu sekadar 63 peratus sahaja dengan 37 peratus lagi memerlukan beras import.

Baru-baru ini, kerajaan sudah mengenal pasti kawasan seluas 50,000 hektar di Sabah dan Sarawak untuk pelaksanaan projek penanaman padi.

Walau bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu dipersetujui secara prinsip oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, namun pelaksanaannya memerlukan sedikit masa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram