[VIDEO] 'Itu cukup untuk orang bujang', rakyat label Timbalan Menteri KPDN tak realistik lepas tunjuk cara berbelanja bawah RM200


  • Massa
  • Rabu, 20 Sep 2023

Tangkap layar Senator Fuziah Salleh berbelanja barangan dapur di sebuah pasar raya.

TIMBALAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh membuktikan kos sara hidup dan perbelanjaan rakyat masih dalam kawalan stabil.

Dalam satu rakaman tular di laman media, memaparkan beliau mengadakan tinjauan harga barang makanan dan bekalan mentah di sebuah pasar raya pada Selasa.

Jelasnya, perbelanjaan sebanyak RM200 mencukupi untuk menampung kos barangan dapur dengan segala keperluan hidup masih di paras kemampuan rakyat.

Tampil mempertikaikan keluhan masyarakat yang sebelum ini mendakwa kos sara hidup dan perbelanjaan barangan dapur semakin meningkat, beliau mengingatkan orang ramai untuk berhenti daripada berkata perkara tidak benar.

Dalam pada itu, video tersebut nyata menerima pelbagai kecaman dan spekulasi dalam kalangan masyarakat.

Rata-ratanya menganggap bahawa senarai barangan yang dibeli hanya mencukupi untuk individu berstatus bujang yang belum berkahwin.

"Itu untuk perut seorang boleh la, cuba kalau duduk sebumbung dengan orang yang anak ramai, kena tanggung adik beradik lain, masuk dalam kelompok macam itu baru cuba buat perbelanjaan bukan sekadar beli ikut keperluan diri sendiri," kata Eda Halim.

"Ini cara perbelanjaan orang bujang, orang berkeluarga mana cukup nak belum setakat sekampit beras dan seekor ayam, paling kuat bertahan seminggu je kalau yang ada anak empat orang, nak buat sesuatu tolong berfikir secara logik," ujar Syaidatul Zamri.

"Untuk yang berkeluarga dan ada bayi, lampin dan susu memang sangat penting selain bekalan mentah, jadi kalau dengan bajet RM200 rasa-rasa cukup ke untuk sebulan," jelas Mohd Syahmi.

"Tak realistik langsung kiraan dia buat, kita yang dah berkeluarga sahaja yang tahu betapa tingginya kos sara hidup dan perbelanjaan sekarang, RM200 tu dah macam perbelanjaan untuk seminggu barang dapur," tambah Amelia Ismail.

Berdasarkan komen ramai, ia nyata menunjukkan betapa masyarakat kurang berpuas hati dengan kenyataan dibuat Fuziah Salleh.

Di akhir rakaman tular tersebut, beliau menegaskan perbelanjaan sebanyak RM200 cukup untuk menampung kelengkapan barangan dapur.

"Siapa kata RM200 tak boleh? Tak cukup? Kena RM500? Jangan cakap perkara tak benar. Saya sendiri tengok dan saya sendiri nilai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram