Bapa 'hadiahkan' penumbuk, penendang sempena hari lahir ke-12 anak


  • 112
  • Isnin, 30 Okt 2023

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera selepas ditumbuk dan ditendang oleh bapa kandungnya sendiri dekat sebuah rumah di Kampung Perah, Gerik, Perak pada petang Ahad. — Gambar Hiasan

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun cedera selepas ditumbuk dan ditendang oleh bapa kandungnya sendiri dekat sebuah rumah di Kampung Perah, Gerik, Perak pada petang Ahad.

Malang buat dirinya, peristiwa itu berlaku sehari selepas mangsa menyambut ulang tahun kelahirannya.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kejadian kira-kira pukul 5 petang itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan paha.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, sekitar pukul 6 petang pada Sabtu, mangsa dibawa oleh ibu saudaranya balik ke rumah dengan alasan untuk menyambut hari lahir mangsa.

"Kanak-kanak tersebut bermalam di rumah berkenaan dan akan dihantar pulang pada lewat petang keesokan harinya.

"Namun pada hari kejadian, bapa mangsa datang ke rumah tersebut sekitar pukul 5 petang lalu terus menumbuk dan menendang belakang badan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Zulkifli, suspek berusia 37 tahun itu juga bertindak melibas parang yang berada di tangannya hingga hampir mengenai mangsa.

Tambahnya lagi, susulan kejadian itu, mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang badan dan paha akibat kejadian itu.

"Polis yang menerima laporan kejadian itu telah berjaya membuat tangkapan ke atas suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram