TINDAKAN tiga individu yang terlibat dalam pergaduhan dekat Lebuh Raya Pulau Indah, Klang, Selangor pada Sabtu lalu menyebabkan kesesakan lalu lintas selama beberapa jam.
Difahamkan pergaduhan itu melibatkan tiga pemandu lori kontena selepas terlibat dalam kemalangan di lokasi tersebut.
Pergaduhan itu juga sempat dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian dan dikongsikan semula di laman Twitter Isu Semasa Viral.
"Pemandu lori bergaduh, orang lain jadi mangsa. Sudah stuck beberapa jam di disini," ciapnya.
Dalam video berdurasi 34 saat tersebut, kelihatan tiga orang lelaki tersebut kelihatan saling tumbuk-menumbuk antara satu sama lain.
Dalam video tersebut juga kelihatan dua buah lori berkenaan menutup sepenuhnya dua lorong lebuh raya tersebut sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Turut kedengaran suara perakam menerangkan kejadian tersebut.
"Baru terjadi, kesesakan lalu lintas Lebuhraya Shah Alam (KESAS) ke arah West Port, Pelabuhan Klang. Ada kemalangan.
"Aduh, ada orang bergaduh pula," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan individu berkenaan.
@afix_flag menyifatkan tindakan individu yang bergaduh tersebut sebagai pentingkan diri sendiri.
"Dah kemalangan itu sudahla, tak perlu bertumbuk tunjuk sapa paling kuat.
"Selfish bro orang macam ini. Aku pula yang panas hati tengok," tulisnya.
Sementara itu @Mohd^^Amiruddin pula berkata, dia sudah lali dengan keadaan tersebut.
"Sebagai anak jati Klang benda gaduh-gaduh ini normal. Siang malam ada bila melibatkan pemandu lori ini. Masing-masing nak laju.
"Aku dulu pergi kerja naik motosikal tetapi bila dah tengok semua lori besar laju-laju dan selalu kemalangan, aku nekad beli kereta. Takut kena langgar," tulisnya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram