Tumbuk pekerja kedai serbaneka kerana payung, dua lelaki kena reman 6 hari


  • 112
  • Khamis, 22 Jun 2023

Mangsa dilihat dipaksa berswafoto bersama rakan lelaki mabuk yang menyerangnya ketika bekerja di sebuah kedai serbaneka di Bandar Rinching pada Isnin.

DUA lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan kes selepas dipercayai menumbuk muka pekerja kedai serbaneka di Semenyih, Selangor, 20 Jun lalu.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 31 dan 32 tahun dikeluarkan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, lapor Berita Harian.

Reman kedua-dua suspek bermula Khamis bagi membantu siasatan bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bapa mangsa Shahrul Aminshah Aziz, 40, bersyukur apabila polis berjaya mengesan suspek yang dipercayai mencederakan anak lelakinya, yang berusia 18 tahun.

“Saya harap kes ini dapat diselesaikan segera dan pesalah itu mendapat hukuman setimpal dengan sakit serta trauma dialami anak saya,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Sebelum ini, media melaporkan pekerja kedai serbaneka cedera di muka selepas ditumbuk lelaki mabuk berikutan menegurnya mengambil payung dalam premis berkenaan, awal pagi kelmarin.

Suspek juga mengambil swafoto bersama mangsa sebelum beredar meninggalkan premis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram