[VIDEO] Ustaz Kazim Elias akur arahan tidak lagi beri ceramah di Pulau Pinang


  • Massa
  • Ahad, 29 Okt 2023

Ustaz Kazim Elias ketika mengungumkan bahawa tidak lagi dibenarkan untuk memberi kuliah di seluruh Pulau Pinang pada Sabtu.

BERITA duka buat seluruh warga Pulau Pinang apabila pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias mengumumkan tidak lagi mengajar di negeri itu bermula Sabtu.

Menurut Ustaz Kazim menerusi video yang tular sejak Sabtu, beliau mendedahkan bahawa keputusan dibuat selepas akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh jabatan agama untuk tidak menyampaikan sebarang ceramah di seluruh Pulau Pinang.

“Kuliah ditangguhkan sebab saya tidak dibenarkan menyampai kuliah, jadi saya ambil keputusan bagi tidak lagi mengajar di Pulau Pinang bermula hari ini (Sabtu)," katanya ketika berada di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil pada Sabtu.

Melalui video yang berdurasi lebih kurang 3 minit itu, Mohd Kazim berkata, sebagai rakyat Malaysia yang patuh kepada arahan, beliau menerima baik keputusan berkenaan.

“Ini adalah pertemuan terakhir dengan tuan-tuan jadi saya datang ke sini bukan untuk beri kuliah, tetapi nak sampaikan ucapan terima kasih kepada pihak masjid kerana sudi menjemput saya menyampaikan kuliah.

“Begitu juga kepada semua (pengurusan) masjid dan surau yang jemput saya selama 33 tahun menyampaikan ceramah di Pulau Pinang sehinggalah pada bulan empat (April) lalu.

“Jadi, semua program bermula malam ini sehingga bila-bila, saya tidak lagi terima sebarang jemputan di Pulau Pinang kerana mematuhi arahan ini,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Pejabat Mufti Pulau Pinang atas kerjasama yang sudah dilakukan sebelum ini.

“InsyaALLAH, mungkin kita dapat ikuti kuliah lagi dalam platform yang lain,” katanya.

Sementara itu, media melaporkan Pengerusi Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil, Jaafar Talib turut mengesahkan video tersebut serta pihaknya akur dengan keputusan jabatan agama serta penceramah bebas berkenaan.

Jaafar mendakwa, Mohd Kazim terdahulu menerima arahan itu sebelum tampil ke masjid bagi memberi penjelasan berkenaan arahan terbabit.

“Ustaz sudah datang, tetapi tidak dibenar menyampaikan kuliah. Beliau sering dijemput ke masjid ini bagi pengajaran agama selain membeli kuliah dan ceramah.

“Pada mulanya, saya sangka arahan ini adalah bagi masjid ini sahaja, rupa-rupanya untuk seluruh Pulau Pinang. Beliau juga pernah tidak dibenar mengadakan kuliah atau ceramah di negeri ini pada April lalu,” katanya kepada media tempatan pada Ahad. — Buletin TV3

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram