Tarik diri PRU15: Macam Diva AA, Ustaz Kazim Elias hormati wasiat arwah ibu


  • Politik
  • Ahad, 06 Nov 2022

Mohd Kazim pada peringkat awal memang bersetuju untuk bertanding atas tiket BN pada pilihan raya kali ini selepas berunding dengan dua abangnya, Ahmad Hasbullah dan Mohd Najmuddin yang turut terlibat dengan politik.

PENDAKWAH selebriti, Datuk Mohd Kazim Elias meminta maaf kepada pengundi di kerusi Parlimen Larut, Perak kerana membatalkan hasrat untuk bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, pelawaan menjadi calon BN itu diterima daripada Umno negeri dan pusat dengan syarat tidak melibatkan ahli keluarga yang lain di dalam satu kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana menghormati wasiat arwah ibunya.

Beliau pada peringkat awal memang bersetuju untuk bertanding atas tiket BN pada pilihan raya kali ini selepas berunding dengan dua abangnya, Ahmad Hasbullah dan Datuk Mohd Najmuddin yang turut terlibat dengan politik.

g15

"Beberapa rundingan dilakukan bersama dengan saudara-saudara kandung sehinggalah saya mengambil keputusan untuk menandatangani watikah dan aku janji sebagai calon Parlimen Larut.

"Pada masa sama juga abang saya (Mohd Najmuddin) juga menandatangani watikah wakil bagi satu lagi parti yang berbeza tanpa kami saling mengetahui yang dia tandatangan, saya pun tandatangan. Ingatkan dia tak bertanding, akhirnya saya beri peluang kepada abang saya," katanya dalam siaran langsung di Facebook rasmi beliau pada Ahad.

Mohd Kazim berkata, selepas keputusan itu dibuat, satu surat dihantar kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan menolak pencalonan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, surat tersebut tidak sempat diterima sebelum pengumuman calon-calon BN dibuat pada 1 November lalu menyebabkan namanya tetap diumumkan sebagai calon.

"Tidak timbul isu misal saya ditolak di mana-mana bahagian, cawangan padahal saya dipersetujui oleh semua khususnya di BN negeri dan pusat.

"Jadi pengundi di Larut, saya minta maaf. Insya-ALLAH, walaupun demikian, saya berjanji akan turun di Larut walaupun sebagai seorang pendakwah, saya akan bantu apa yang boleh saya bantu untuk sahabat dan saudara-mara saya di Larut, di Kubu Gajah, Batu Kurau, Selama, insya-ALLAH. Larut tetap di hati," katanya.

Mohd Kazim bersedia untuk menerima jemputan daripada mana-mana pihak untuk berceramah tanpa memakai lambang mana-mana parti politik.

Pada PRU15, Mohd Najmuddin bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) di kerusi DUN Batu Kurau.

azwan

Azwan Ali mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding di kerusi Parlimen Gombak pada PRU15.

Sebelum ini, selebriti tanah air, Azwan Ali turut mengambil keputusan untuk menarik diri daripada bertanding di kerusi Parlimen Gombak pada PRU15.

Azwan, 56, ataupun lebih dikenali sebagai Diva AA berkata, mimpi bertemu arwah ibunya merupakan faktor dia terpaksa mengundurkan diri daripada bertanding.

Dia berkata, dalam mimpinya, arwah ibunya, Che Tom Yahya berpesan kepadanya untuk tidak bertanding dalam PRU kali ini.

Jika bertanding, Azwan bakal menentang abangnya sendiri, Datuk Seri Azmin Ali daripada parti Perikatan Nasional dab Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari mewakili PKR. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram