Waspada insan talam dua muka, ahli neraka tempatnya


  • Mukmin
  • Jumaat, 27 Jan 2023

Orang munafik atau talam dua muka hanya akan menunjukkan bahawa dirinya sahaja yang betul dan baik sedangkan mereka hanya berpura-pura demi meraih pujian. — Gambar hiasan

PERILAKU bermuka-muka atau berpura-pura di hadapan orang antara sifat yang paling dibenci dalam Islam. Perbuatan itu bukan sahaja mampu meruntuhkan institusi kekeluargaan dan menyebabkan pergaduhan dalam kalangan masyarakat.

Berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah, Nabi Muhammad bersabda: "Bahawa daripada orang sejahat-jahat di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah orang yang mempunyai dua wajah."

Menurut satu rakaman ceramah Ustaz Kazim Elias, individu sebegini merupakan golongan yang berpura-pura melakukan kebaikan, namun hakikatnya sekadar ingin menunjukkan kelebihan ataupun sekadar mempamerkan diri mereka sebagai orang beriman.

"Maka berhati-hatilah dengan orang seperti ini. Orangnya perangai yang cukup baik dengan pihak lain, namun berkata buruk dengan pihak lain. Mengadakan perkara yang tiada.

"Melaga-lagakan orang atau menjaja cerita tentang orang lain, sedangkan individu itu tidak terlibat dalam perbualan. Orang bermuka-muka ini kata mudahnya munafik," jelasnya.

IMG-20211121-WA0097

Orang yang berkemampuan tetapi tidak membantu golongan seperti anak yatim dan fakir miskin turut termasuk dalam kalangan ciri-ciri orang munafik.

Individu yang bermuka-muka ini juga sering muncul di media sosial. Tingkah-laku yang berbeza, namun apabila tiba di media sosial, mereka ini mempamerkan perwatakan yang berlainan.

"Sekarang ini perbuatan fitnah itu terlalu mudah berlaku. Hanya dengan menaip sahaja sudah cukup untuk mengadakan perkara yang tiada. Perangainya cukup lemah lembut di hadapan orang lain, tetapi apabila orang itu tiada, dia mengata.

"Jangan ingat benda yang tidak betul itu dianggap kecil kerana hanya dilakukan di media sosial, tetapi sebenarnya besar di sisi ALLAH. Golongan sebeginilah yang paling dahulu masuk ke neraka," terangnya.

Selain perubahan sikap apabila berhadapan orang lain, mereka yang berkemampuan namun, enggan mengeluarkan sedikit harta mereka bagi membantu anak yatim dan fakir miskin.

Orang seperti ini turut disebut sebagai talam dua muka iaitu kedekut. Mereka mendirikan solat, tetapi tidak berkongsi rezeki atau memberi infak kepada jalan ALLAH.

"Moga mereka yang memiliki sikap sebegini segera berubah. Bertaubat sebelum terlambat dan ambil peluang yang ada untuk memperbaiki diri," katanya.

Members of human resource team whispering about the candidate during a job interview in the office.

Menfitnah atau menyebarkan berita tidak baik kepada orang lain antara perkara dilarang dalam Islam.

Menerusi surah al-Imran ayat 133 dan 134 bermaksud: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari TUHAN kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."

Dalam pada itu Kasim turut berkongsikan beberapa tip bagi mengenali mereka yang mempunyai ciri talam dua muka;

1. Ketika berbual atau berkawan, individu itu asyik bercerita tentang keburukan orang lain.

2. Cuba kongsikan satu rahsia dan lihat sama ada heboh atau tidak kepada orang lain. Jika tidak, maka orang ini boleh dipercayai.

3. Apabila semua orang mengatakan hanya dia sahaja yang sering bercerita buruk tentang orang lain, tetapi dia tidak mengaku atau menyatakan maaf. Apa yang dilakukan hanya menafikan sahaja. Maka orang begini perlu dijaga-jaga.

4. Dia sering menceritakan tentang kelebihan yang dimiliki atau kehebatan ahli keluarganya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram