MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan peruntukan dana lebih besar yang diterima sektor pendidikan negara mampu meningkatkan akses kepada kualiti pengajian terbaik buat seluruh masyarakat Malaysia.
Beliau berkata, peruntukan komprehensif dan merangkumi segala keperluan itu sekali gus membolehkan pihaknya memajukan sektor pendidikan khususnya dalam agenda Pendidikan Manusiawi.
"Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus berusaha meningkatkan akses pendidikan berkualiti yang merangkumi pembinaan 26 buah sekolah baharu dan 18 blok baharu pendidikan khas.
“Selain itu, kerja menaik taraf bangunan daif dan infrastruktur serta kerja-kerja penyelenggaraan juga akan diberi tumpuan,” katanya, sambil menambah bahawa pihaknya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan tersebut.
KPM mahu menekankan kepentingan untuk menerapkan Karamah Insaniah dalam kalangan pelajar sekolah. — Facebook/Fadhlina Sidek
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pemberian dana terbesar dalam Belanjawan 2024 itu menunjukkan komitmen berterusan daripada pihak kerajaan untuk memajukan pembangunan bakat.
"Fokus sedemikian amat diperlukan untuk terus memacu negara ke hadapan," katanya sambil menambah bahawa dia percaya peruntukan itu adalah salah satu daripada usaha reformasi yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan.
"Ia adalah dana yang ditujukan khas untuk rakyat di negara ini, tambahan lagi pendidikan berkualiti merupakan hak semua masyarakat tanpa mengira kaum, agama mahupun status seseorang itu," katanya.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi berkata, adalah menjadi keutamaan buat pihaknya bagi memastikan semua inisiatif strategik yang digariskan mampu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi mencapai hasil yang optimum.
"Tahap pemantauan yang teliti amat diperlukan di semua peringkat bagi memastikan setiap wang yang dibelanjakan menyumbang kepada agenda reformasi pendidikan negara," katanya sambil menambah bahawa peruntukan itu akan memacu sektor pendidikan dalam membangunkan Malaysia Madani.
Sementara itu, KPM dalam kenyataan berkata, Belanjawan 2024 yang bertemakan 'Belanjawan Madani Kedua', adalah satu usaha yang penting untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan negara.
"Aspek pendidikan terus diberi keutamaan oleh kerajaan demi memastikan hasrat membina Malaysia Madani yang berdaya maju dan mampu bersaing di peringkat global tercapai," katanya.
Selain bertujuan menyampaikan hasil pendidikan negara, KPM berkata, pihaknya turut menekankan kepentingan untuk menerapkan Karamah Insaniah dalam kalangan pelajar sekolah.
Justeru itu, peluasan pelaksanaan program pembentukan karakter murid akan menumpukan nilai kepimpinan, sahsiah diri, adab dan integriti.
"KPM menggalas amanah besar untuk memastikan peruntukan yang diberi dalam Belanjawan 2024 dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan memberi impak kepada pembangunan pendidikan negara," katanya.
Turut menghargai peruntukan yang disalurkan kepada sektor pendidikan negara, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon berkata, beliau berharap agar dana itu mampu dimanfaatkan sebaik mungkin demi kebajikan para guru, pelajar dan institusi sekolah itu sendiri.
"Saya berharap agar cadangan pembinaan 26 buah sekolah baharu dapat diberi keutamaan dan tertakluk kepada sistem pemantauan yang rapi.
"Ia bertujuan memastikan proses pembinaan fasiliti serta kemudahan pendidikan yang diusahakan berjalan dengan telus dan baik," katanya.
Tambahnya, NUTP amat menghargai peruntukan sebanyak 180 juta yang diperuntukkan untuk pembinaan 18 buah blok baharu pendidikan khas di samping RM30 juta bagi pembekalan peralatan sokongan Pendidikan Khas dan kemudahan mesra OKU di sekolah.
Penubuhan Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian bagi meningkatkan penyertaan bidang STEM. — Facebook/Fadhlina Sidek
Dalam pada itu, Belanjawan 2024 turut menyaksikan tumpuan diberikan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan penubuhan Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian bagi menetapkan sasaran untuk mengukuhkan minat serta penglibatan murid di sekolah dalam bidang tersebut.
Pengarah Kanan dan Pendaftar Universiti Asia Pasifik Teknologi & Inovasi (APU) Dr Teh Choon Jin berkata, inisiatif itu bukan sahaja penting untuk pemerkasaan individu malah ia mampu menjana kemajuan masyarakat dan ekonomi Madani secara menyeluruh.
Beliau menyifatkan pembentukan jawatankuasa rentas kementerian STEM sebagai langkah positif yang berpotensi mencipta pendekatan lebih komprehensif dan berkoordinasi untuk menangani isu jurang jantina dalam pendidikan dan kerjaya bidang STEM.
"Malaysia sedang berdepan dengan krisis negara dalam usaha memupuk bakat bidang STEM kerana bilangan pelajar yang memilih untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut kian menurun.
"Isu ini telah meraih perhatian penggubal dasar, golongan pendidik dan pihak berkepentingan yang menyedari keupayaan bidang pendidikan STEM yang mampu memacu negara ke hadapan," tambahnya.
Peluasan pelaksanaan program pembentukan karakter murid akan menumpukan nilai kepimpinan, sahsiah diri, adab dan integriti. — Facebook/Fadhlina Sidek
Jelasnya lagi, pada tahun 2022, hanya 15 peratus pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam aliran sains tulen.
Peratusan itu nyata jauh berbeza daripada sasaran kerajaan yang sepatutnya mencapai nisbah 60:40 dengan 60 peratus pelajar mengambil jurusan STEM.
"Tren penurunan ini satu perkara yang membimbangkan dalam cabaran ke arah pembangunan negara kerana bidang STEM adalah penting untuk Malaysia berdaya saing di peringkat ekonomi global.
"Desakan untuk menangani isu ini lebih jelas apabila melihat perkembangan pantas bidang teknologi, automasi dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin maju," katanya.
Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam Laporan Pekerjaan Masa Depan 2020 menjangkakan sebanyak 85 juta pekerjaan mungkin akan digantikan dengan robot ekoran anjakan teknologi baharu menjelang 2025.
"Malaysia perlu memberikan tumpuan kepada sains, teknologi dan inovasi (STI) bagi menyediakan tenaga kerja untuk menghadapi perubahan landskap pekerjaan tersebut," katanya.
Mengulas lanjut mengenai dana sebanyak RM100 juta yang diperuntukkan untuk proses penyelenggaraan serta menaik taraf makmal komputer dan pembekalan peralatan baharu untuk pembelajaran STEM.
Sebanyak RM82 juta diperuntukkan bagi pembinaan 26 buah sekolah baharu dan 18 blok baharu pendidikan khas. — Facebook/Fadhlina Sidek
Dr Teh menggesa agar pelajar didedahkan kepada penggunaan infrastruktur, peralatan, mesin dan makmal komputer bagi memastikan keberkesanan pembelajaran STEM.
"Ketika ini, terdapat kekurangan kebolehcapaian infrastruktur yang mengehadkan pengetahuan serta Pembangunan bakat murid.
"Usaha untuk memperbaharui bilik darjah melalui pelaburan dalam kemajuan teknologi bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti pendidikan, malah ia juga selaras dengan tuntutan pembelajaran dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0)," katanya sambil menambah bahawa ia juga mampu membantu pelajar melibatkan diri dalam pembelajaran secara amali.
"Sama ada melalui industri robotik, pencetak 3D atau peralatan saintifik, pelajar juga boleh meneroka konsep STEM secara praktikal dan interaktif yang mana ia sangat penting untuk pemahaman dalam mata pelajaran ini.
“Pelaburan ini memupuk daya interaktif dan pengalaman pembelajaran secara inklusif selain turut menyediakan cabaran serta peluang baharu buat pelajar bagi menghadapi cabaran dalam dunia yang semakin digital," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram