BAGI menunjukkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin yang ketika ini berdepan ancaman tentera Israel, pelbagai aktiviti dilakukan antaranya solat hajat, himpunan solidariti dan lain-lain.
Di peringkat sekolah dan institusi pendidikan, penganjuran Minggu Solidariti Palestin antara program yang diadakan bagi menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Ia bertujuan mendidik murid-murid nilai manusiawi yang turut merangkumi asasi manusia dan sifat ihsan.
Namun, di sebalik Minggu Solidariti Palestin itu, terdapat segelintir ibu bapa yang meluahkan kebimbangan sekiranya anak-anak mereka diajar untuk memegang senjata hingga terpengaruh dengan keganasan melampau.
Ia susulan tular satu video di sebuah sekolah yang memaparkan situasi guru-guru dan pelajar sedang memegang senjata mainan sambil mengenakan skarf di kepala dan meletakkan bendera Palestin di bahu, sebagai tanda sokongan.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Pahang baru-baru ini.
Dalam pada itu, turut kelihatan guru lelaki dan beberapa orang murid memegang senapang mainan sambil melakonkan watak seolah-olah berada dalam situasi peperangan di Palestin.
Meskipun hanya senjata mainan dan ia hanyalah sekadar lakonan semata-mata, ada ibu bapa dan beberapa pihak lain yang bimbang pelajar akan mudah terpengaruh dengan aksi ganas yang ditonjolkan dalam majlis itu.
Sementara itu, Presiden Global Human Rights Federation (GHRF), S Shashi Kumar dilaporkan turut mengecam tindakan pihak sekolah yang mengadakan program seperti itu.
Ibu bapa bimbang anak-anak mereka diajar untuk memegang senjata dan terpengaruh keganasan melampau.
Shashi juga menyifatkan perkara itu agak mengejutkan dan menakutkan.
"Inilah yang kami bimbangkan. Ini salah, dan kami bantah keras. Guru tidak dilatih (untuk mengendalikan program seumpama itu)," katanya.
Berhubung isu berkenaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, penganjuran program itu adalah di luar tempoh waktu pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti panduan yang ditetapkan KPM.
Menurut KPM, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme di sepanjang penganjuran program tersebut.
Ia kerana, penganjuran program itu bertujuan mendidik murid nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat.
Malah, Minggu Solidariti Palestin yang dijadualkan berlangsung sepanjang 29 Oktober hingga 3 November perlu dijadikan platform untuk mendidik murid tentang nilai-nilai murni, toleransi, kasih sayang dan saling hormat menghormati.
"Semua institusi bawah KPM diminta untuk sentiasa mengikuti panduan penganjuran yang ditetapkan.
“KPM menggalakkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang mendukung isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, sayembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster tema kedamaian dan kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin di sepanjang pelaksanaan program ini,” katanya pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram