Kes NGO seleweng dana Palestin, SPRM dijangka buat forensik akaun


  • 112
  • Selasa, 24 Okt 2023

Ribuan rakyat Malaysia yang sanggup bersolidariti bersama Palestin termasuk mendermakan dana untuk membantu rakyat Palestin.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menemu bual beberapa saksi berhubung siasatan terhadap sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip wang derma untuk rakyat Palestin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan dijalankan susulan timbul dakwaan pelbagai pihak yang mempersoalkan bagaimana wang derma itu dibelanjakan oleh NGO berkenaan.

Beliau berkata, individu yang dipanggil itu adalah mereka yang bertanggungjawab dalam perbelanjaan dan pihak yang mengaudit akaun NGO terbabit.

"Kesemua mereka telah dipanggil pada minggu lepas dan kini SPRM dalam usaha untuk mendapatkan dokumen-dokumen seperti penyata akaun bank dan laporan kewangan NGO berkenaan.

Screenshot (505)

Azam Baki jangka SPRM perlu mengambil tindakan serius terhadap penyata akaun NGO berkenaan. Bernama

"Saya jangkakan SPRM perlu membuat forensik perakaunan terhadap penyata kewangan dan akaun NGO tersebut kerana kita perlu melihat perjalanan keluar masuk wang yang didermakan dan ke mana ia dibelanjakan sama ada ia benar-benar disalurkan untuk kebajikan rakyat Palestin," katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Anti-Korupsi Antarabangsa 2023, di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada 14 Oktober, kecoh di media sosial tentang dakwaan seorang aktivis berkenaan dengan penyelewengan dana hasil derma rakyat Malaysia kepada Palestin yang dilakukan oleh sebuah NGO terkemuka.

Dakwaan yang bersertakan laporan audit ketika saluran bantuan ke Gaza pada tahun 2021 dan 2015 itu juga meraih perhatian ramai sekali gus menimbulkan pertikaian tentang wang derma yang dikutip.

Susulan itu, pihak pengurusan NGO berkenaan juga dilaporkan telah mengambil maklum tentang dakwaan yang dilemparkan itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram