Sultan Johor dipilih jadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 


  • Primer
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, berkuat kuasa 31 Januari 2024.

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari 2024.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan memaklumkan pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Jumaat.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.

Dalam pada itu, mesyuarat berkenaan turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.

Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja itu telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Perdana Menteri juga telah dimaklumkan (mengenai perkara ini),” kata Syed Danial. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram