SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sememangnya merupakan seorang pemerintah yang cukup dikenali dengan sikap Baginda yang mesra dan berjiwa rakyat.
Populariti dimiliki baginda dalam kalangan rakyat Malaysia juga tidak dapat disangkal.
Ini terbukti melalui jumlah pengikut yang dimiliki baginda di Facebooknya yang ketika ini mencecah lebih sejuta pengguna.
Melalui perkongsian di sosial medianya, Sultan Ibrahim juga tidak kekok untuk berkongsikan pelbagai aktiviti harian yang dijalani baginda.
Bermula daripada perkara serius seperti ketika menjalankan kerja pentadbiran, sehinggalah semasa mengisi masa luang antaranya dengan bermain bersama cucu dan hobi unik yang gemar dilakukannya.
Dalam pada itu, mengikut senarai penggiliran menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kini merupakan Sultan yang mendahului senarai untuk dipilih bagi diangkat ke jawatan tersebut.
Ia selepas tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang, dijadualkan berakhir pada penghujung Januari depan.
Raja-Raja Melayu dijangka memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Jumaat melalui sistem pemilihan unik.
Pemilihan kali ini dijangka berkemungkinan mengekalkan sistem menggiliran bagi melantik Yang di-Pertuan Agong baharu dalam kalangan sembilan Raja.
Berikut Majoriti kongsikan lima fakta menarik mengenai Sultan Ibrahim:
1. Miliki lesen pandu kereta api
Sultan Ibrahim berkenan memandu kereta api sewaan khas dari KTMB JB Sentral ke Stesen KTMB Kuala Lumpur. — Facebook/SultanIbrahimSultanIskandar
Pada 2010, Sultan Ibrahim berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records apabila menjadi Sultan pertama di Malaysia yang memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa tinggi.
Tidak menunggu lama untuk menunjukkan kemahirannya, baginda pada tahun sama turut berkenan memandu kereta api ketika program Kembara Mahkota Johor (KMJ2010).
Pada masa sama, perolehan lesen itu tercipta selepas baginda menyempurnakan prosedur ‘turn table' bagi memusingkan lokomotif seberat 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas Negeri Sembilan.
Sementara itu, pada 26 Mac 2017, Sultan Ibrahim berkenan memandu kereta api sewaan khas dengan melakukan perjalanan sejauh 296 kilometer dari Stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) JB Sentral, Johor Bahru ke Stesen KTMB Kuala Lumpur.
Lebih menarik, tiga hari kemudian, baginda turut berkenan bagi berangkat pulang dengan kereta api tersebut bagi jarak yang sama bagi menyempurnakan pemanduan buat kali ke-16.
2. Berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor
Sultan Ibrahim ketika terima menghadap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. — Facebook/SultanIbrahimSultanIskandar
Dalam pada itu, sedar akan tanggungjawabnya sebagai raja pemerintah di Johor, baginda turut pernah berkhidmat bersama kerajaan negeri.
Langkah itu diambil bagi membolehkan baginda mempelajari selok-belok pengurusan dan pentadbiran negeri.
Semasa tempoh tersebut, baginda ditempatkan antaranya di tempat yang pernah mendapatkan khidmat Sultan Ibrahim adalah di Pejabat Setiausaha Kerajaan, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pertanian
3. Miliki latihan ketenteraan meluas
Sultan Ibrahim dilantik sebagai platun komander ketika menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat di Kota Tinggi. — Facebook/SultanIbrahimSultanIskandar
Selain berkhidmat dalam pentadbiran negeri, Sultan Ibrahim turut memiliki penglibatan yang cukup meluas dalam aktiviti ketenteraan bermula sejak daripada tamat waktu persekolahan.
Menurut portal rasmi Kerajaan Negeri Johor, baginda dilantik sebagai platun komander ketika menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat di Kota Tinggi.
Selepas daripada itu, Sultan Ibrahim turut menerima jemputan khas untuk mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan di untuk pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat (AS).
Baginda juga kemudiannnya tidak menoleh ke belakang apabila berterusan mencabar diri termasuk menjalani latihan ‘airborne‘ dan ‘ranger‘ untuk pegawai infantri.
Sepanjang penglibatan tersebut, Sultan Ibrahim turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera laut dan darat).
Selain itu, Sultan Ibrahim turut melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) negara itu.
4. Hobi unik simpan koleksi tongkat kayu
Sultan Ibrahim bergambar bersama koleksi tongkat kayu milik baginda. — Facebook/SultanIbrahimSultanIskandar
Sultan Ibrahim turut menyimpan hobi pelbagai hobi unik dengan antara yang mencuri tumpuan pastinya kegemarannya untuk mengumpul koleksi lebih 200 tongkat kayu terdiri daripada pelbagai reka bentuk dan saiz.
Lebih menarik, kesemua tongkat yang dimiliknya itu dihasilkan secara tempatan dan mempunyau lambang khas 'SI'.
Tongkat yang berada dalam koleksi baginda diperbuat diperbuat daripada kayu cendana, giam, papan lantai kayu istana-istana lama dan termasuk kayu landasan kereta api.
Menerusi perkongsiannya mengenai hobi berkenaan, Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa baginda sering meluangkan masa untuk membersihkan tongkat-tonggkat berkenaan yang disusun secara kemas dan teratur.
5. Suka memasak, miliki menu kegemaran yang 'simple'
Bagi yang sentiasa mengikuti perkongsian dibuat Sultan Ibrahim di sosial media, anda pastinya akan perasan dengan kegemarannya untuk memasak ketika mempunyai waktu terluang.
Malah, baginda juga tidak lokek untuk berkongsikan menu istimewa kepada orang ramai yang menonton videonya.
Antara hidangan yang pernah diketengahkan Sultan Ibrahim adalah kari kepala ikan kerapu, kari Jepun, Briyani Lobster, gulai nenas dan nasi goreng istimewa.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai makanan kesukaan baginda, Sultan Ibrahim dilihat mempunyai cita rasa yang agak ringkas.
Antara menu kegemaran baginda yang selalu dipesan khususnya ketika mencemar duli bersantapan pagi bersama orang ramai ialah roti canai kari kambing dan ayam serta minuman halia 'o' ais. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,