Ibu gagal kawal kereta, rempuh besi pengadang sebabkan anak 7 tahun maut, bayi parah


  • 112
  • Jumaat, 27 Okt 2023

Kanak-kanak maut, bayi enam bulan cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 57, Jalan Lipis ke Merapoh, CSR, Lipis, Pahang pada Khamis.

SEORANG kanak-kanak berusia tujuh tahun dilaporkan maut, manakala bayi enam bulan cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 57, Jalan Lipis ke Merapoh, Central Spine Road (CSR), Lipis, Pahang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor dilaporkan berkata, berdasarkan siasatan, kereta yang dipandu ibu mangsa, Nursaryanie Sabri, 32, hilang kawalan ketika di tempat kejadian dan merempuh besi pengadang kiri jalan pukul 6 petang.

"Akibat kemalangan, anak pemandu berkenaan dibawa ke Klinik Kesihatan Merapoh dan terus dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan.

"Mangsa, Muhammad Ali Anaqi Mohd Ilham yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Panggong, Pasir Puteh, Kelantan meninggal dunia kira-kira pukul 12.05 pagi, Jumaat ketika dirawat di hospital," katanya.

Azli memberitahu, turut berada dalam kereta ialah bapa pemandu berusia 60 tahun, adiknya, 23 tahun dan empat anak berusia antara 6 bulan hingga 7 tahun dalam perjalanan dari Pasir Puteh, Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.

Tambah beliau, seorang lagi anak pemandu kereta berusia enam bulan cedera parah manakala bapa dan dua anak lain tidak mengalami kecederaan.

"Pemandu dan adiknya berusia 23 tahun juga tidak cedera.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca kecuaian pemandu kereta berkenaan gagal mengawal kenderaannya,” katanya.

Kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram