[VIDEO] Peniaga makanan kejar lelaki didakwa selamba lari lepas langgar kereta orang wanita bertindak mengejar pemandu didakwa melanggar bahagian keretanya dalam satu kejadian di sebuah pusat beli-belah dekat Baling, Kedah.
Video mengenai insiden tersebut dimuat naik sendiri oleh mangsa yang menggunakan nama akaun Dhia Fathia menerusi laman Facebook kumpulan Penduduk Baling Kedah lewat malam Rabu.
Berdasarkan klip berkenaan, wanita tersebut yang dipercayai merupakan peniaga makanan dilihat bersemuka dengan pemandu lelaki terbabit membawa kereta jenis Nissan Almera di tempat parkir dekat tepi sebuah jalan.
Sebelum itu, dia difahamkan bertindak memandu mengejar lelaki berkenaan sehingga ke kawasan tersebut selepas dipercayai dilanggar ketika sedang menunggu bagi mendapatkan ruang parkir.
"Hang ada lesen ke tidak ada lesen. Awat hang langgar kereta aku?" soal wanita tersebut kepada lelaki terbabit yang kemudiannya segera menafikan dakwaan tersebut.
Kedua-dua individu terbabit juga dilihat saling salah-menyalahkan antara satu sama lain ekoran kejadian yang berlaku.
Wanita tersebut kemudiannya didengar meminta untuk lelaki berkenaan pergi ke kereta miliknya untuk melihat sendiri bukti kerosakan yang berlaku.
Bagaimanapun, lelaki tersebut enggan menurut dan kembali menaiki kenderaan bersama seorang wanita lain untuk beredar meninggalkan lokasi.
Dalam pada itu, di ruangan komen hantaran tersebut, wanita tersebut mendakwa lelaki terbabit sebelum itu menengkingnya apabila dia menegur sejurus selepas kejadian perlanggaran terhadap keretanya.
Dakwanya lagi, lelaki berkenaan juga tidak mahu berbincang dan langsung tidak turun daripada kereta sebelum beredar.
Situasi itu menurutnya menyebabkannya bertindak mengejar kereta tersebut dan membuat video merakamkan kejadian tersebut.
Pada masa sama, wanita berkenaan dipercayai sudah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut apabila berkongsikan sekeping gambar di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling menerusi hantaran di Facebooknya.
Belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram