SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjerumus ke dalam longkang di Jalan Durian Daun, Melaka pada Rabu.
Video mengenai insiden tersebut turut tular di sosial media memaparkan keadaan kenderaan mangsa yang tercampak ke dalam longkang di hadapan Institut Pendidikan Guru Kampus Maktab Perguruan Perempuan Melayu(IPGM).
Pada masa sama, satu video berasingan turut memaparkan usaha pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta terbabit.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, dalam kejadian pada pukul 8.50 malam itu, mangsa, Tey Shen Hao, 26, disahkan maut di tempat kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati lelaki tersebut dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Sebukor dan memandu kereta Proton Saga dari arah bandar Melaka menghala ke Bukit Baru.
Menurut Christopher, pihaknya masih sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ujar beliau, setakat ini, tiada mana-mana saksi tampil memberikan keterangan berhubung kejadian kemalangan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,