KPI Prasarana akan dipapar di laman sosial bermula Mei


  • Massa
  • Rabu, 12 Apr 2023

Prasarana bakal memaparkan KPI bulanannya kepada umum di laman sosial bermula Mei tahun ini. — Gambar hiasan

PRASARANA Malaysia Bhd akan melaksanakan sistem indeks prestasi utama (KPI) baharu dan kemas kini bulanan akan disiarkan di media sosial, kata Anthony Loke.

Menteri Pengangkutan itu berkata, sistem KPI tersebut juga akan mengambil kira purata kilometer antara kegagalan (MKBF) untuk menilai kestabilan dan perkhidmatan kereta api.

Pengumuman KPI akan dikongsikan di akaun media sosial dan platform berita Prasarana setiap bulan mulai Mei.

Beliau berkata, pada masa ini MKBF hanya didedahkan kepada pihak kementerian tetapi kini orang ramai akan dapat mengetahui jika MRT dan LRT mengalami sebarang isu.

“Sebarang isu teknikal atau kelewatan melebihi lima minit menjejaskan MKBF, yang pada masa ini berada pada jarak 150,000km.

Sasaran MKBF ialah 1,000,000km menjelang 2026," katanya kepada akhbar pada Selasa selepas menghadiri majlis berbuka puasa Prasarana bersama kakitangannya di Depoh Lembah Subang, Petaling Jaya, Selangor.

Di samping itu, Loke berkata, akan ada laporan mingguan mengenai penyelenggaraan kemudahan, faktor perjalanan, jumlah penumpang, eskalator dan lif.

Tambahnya, menerusi pendedahan dan kemas kini itu, orang ramai akan dimaklumkan mengenai perkhidmatan tersebut selain memastikan Prasarana terus meningkatkan kebolehpercayaan terhadap tren.

"MKBF yang lebih tinggi bermakna perkhidmatan lebih baik, sekali gus merupakan petunjuk bagaimana kita boleh memperbaiki diri.

"Melaluinya, budaya dan falsafah penyelenggaraan kami akan berubah. Dahulu, apa yang kami lakukan adalah langkah pembaikan selepas kegagalan berlaku. Tetapi kini, ia bergantung kepada bahagian mana yang perlu diubah berdasarkan situasinya," katanya.

Beliau juga berkata, laluan LRT Kelana Jaya akan menerima tren baharu pada Ogos. Pada majlis itu, Loke turut memaparkan imej kereta api enam gerabak yang baharu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram