PERKHIDMATAN Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dijangka mencapai kekerapan satu tren setiap tiga minit pada waktu puncak menjelang hujung Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini berikutan operasi tiga tren baharu empat gerabak bagi laluan Kelana Jaya yang sudah bermula sejak bulan lepas.
Sebanyak 16 tren lagi akan diterima dan digunakan secara berperingkat sehingga tahun depan di bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27).
“Kekerapan kereta api di sepanjang laluan pada waktu puncak bertambah baik daripada 4.4 minit pada Disember tahun lalu menjadi 3.8 minit pada September.
"Ia dijangka mencecah tiga minit pada akhir bulan ini," katanya dalam jawapan disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa.
Jawapan itu menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) tentang rancangan Kementerian Pengangkutan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam daripada 20 peratus kepada 40 peratus yang disasarkan memandangkan kadar kekerapan tren adalah rendah pada waktu puncak dan kekurangan kereta api dan bas menampung jumlah penumpang yang ramai.
Anthony Loke menjawab tentang perkembangan terkini LRT dan MRT.
Mengenai laluan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang, Loke berkata, penggantian roda tren sedang dilaksanakan dan kekerapan tren pada waktu puncak disasar akan bertambah baik dari enam minit kepada empat minit pada hujung Januari 2024.
Beliau berkata, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) juga sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Kajang termasuk program khas bagi membaik pulih komponen tren yang kerap mengalami masalah.
"Projek Overhaul and Midlife Refurbishment untuk tren LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Kajang juga sedang dalam perancangan," kata Loke.
Di Lembah Klang, Loke berkata, Rapid Bus Sdn Bhd yang mengendalikan perkhidmatan RapidKL sedang berusaha untuk menambah bilangan bas dalam perkhidmatan.
Selain itu, kerajaan dalam kerangka untuk melesenkan perkhidmatan ‘bus on demand’ sebagai satu alternatif dan pilihan kepada pengguna sesuai dengan gaya hidup dan keperluan masa masing-masing yang berbeza-beza.
Secara berasingan, Loke berkata kira-kira 356 perhentian bas di Lembah Klang akan dinaik taraf secara berperingkat selaras dengan keputusan Jawatankuasa Kabinet Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Lalu Lintas pada 12 Oktober.
Sebanyak 36 lokasi juga telah dikenal pasti untuk laluan pejalan kaki baharu, katanya.
"Ini akan meningkatkan pengalaman orang ramai dalam menggunakan pengangkutan awam," kata Loke.
Beliau turut berkata, projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang juga menunjukkan hasil yang menggalakkan apabila peroleh peningkatan 12 peratus dalam penumpang Bas RapidKL setakat September.
“Jawatankuasa Kabinet telah memutuskan untuk memperluaskan lorong bas di sepanjang Jalan Ampang dan melaksanakan tiga lagi lorong bas khas di sepanjang Jalan Cheras-Loke Yew, Jalan Kuching dan Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram