SYARIKAT penerbangan tambang murah, MYAirline masih perlu bertanggungjawab untuk membuat pembayaran balik kepada penumpang yang telah membeli tiket penerbangan tetapi tidak dapat melakukan perjalanan susulan pengumuman penggantungan operasi syarikat penerbangan itu.
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah mengarahkan MYAirline untuk segera menguruskan pengguna yang terjejas termasuk memaklumkan mengenai penggantungan operasi melalui saluran komunikasi yang tersedia.
"MYAirline juga telah diarahkan untuk menghentikan penjualan dan tempahan tiket penerbangan serta-merta dari semua platform," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Suruhanjaya itu berkata, pengguna yang terjejas menghubungi syarikat penerbangan itu untuk pertanyaan dan bantuan berkenaan dengan tempahan mereka menerusi [email protected].
Mavcom turut menyediakan saluran khusus untuk membantu pengguna terjejas di talian 1800-18-6966 (dalam Malaysia) atau 603-7651 2777 (luar negara) selain emel [email protected].
Sementara itu, Mavcom memaklumkan pihaknya sedang menyiasat MyAirline berdasarkan semakan dalaman dan aduan yang diterima mengenai pembayaran berkanun yang belum dibayar kepada pekerjanya.
"Mavcom akan menyediakan perkembangan lanjut berkenaan dengan operasi MYAirline dalam masa terdekat," kata suruhanjaya itu.
MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa Khamis berikutan tekanan kewangan yang ketara.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata keputusan itu diambil berikutan tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan dan permodalan semula pemegang saham syarikat penerbangan itu.. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram