Kes tular penumpang dilayan macam 'pengganas', MYAirline mohon maaf, jalan siasatan elak insiden berulang


  • Bizz
  • Jumaat, 26 Mei 2023

Bapa kepada kanak-kanak tersebut turut mengambil video berkenaan insiden berkenaan untuk berkongsikan isu dialami ketika penerbangan terbabit pada Rabu.

SYARIKAT penerbangan tambang murah Malaysia, MYAirline tampil membuat permohonan maaf ekoran isu dihadapi sebuah keluarga berkait dengan tahap perkhidmatan diberikan krunya seperti yang tular pada Jumaat.

Ia selepas seorang bapa mendakwa anaknya yang berusia kira-kira lebih dua tahun diugut untuk dihalau daripada pesawat syarikat tersebut ketika berlepas kerana tidak mahu duduk di kerusi ditetapkan kerana dipercayai mengalami tantrum.

Menurut perkongsian yang tular itu, bapa tersebut turut mendakwa kru penerbangan pesawat terbabit tidak membantu meredakan situasi dialami anaknya itu dan enggan memberikan tali pinggang keledar bayi bagi membolehkan kanak-kanak terbabit duduk bersama ibunya ketika proses berlepas.

"Baru-baru ini, terdapat sebuah insiden yang berlaku di atas pesawat kami berkaitan pemakaian tali pinggang keledar untuk bayi. Kami kesal dan ingin memohon maaf kepada salah seorang penumpang kami menaiki penerbangan tersebut atas pengalaman beliau yang kurang memuaskan.

"Mengikut polisi kami, kami menyediakan tali pinggang keselamatan tambahan untuk bayi sejajar dengan keperluan keselamatan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Berdasarkan garis panduan CAAM, Wajib bagi kanak-kanak berumur 24 bulan dan ke bawah untuk dipangku oleh penjaga dan memakai tali pinggang keselamatan tambahan," kata MYAirline dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, syarikat itu menjelaskan bahawa kanak-kanak berumur 24 bulan dan ke atas harus memakai tali pinggang keselamatan di tempat duduk mereka atas tujuan keselamatan.

"Kami sedang menyiasat perkara untuk mengenal pasti jurang dalam perkhidmatan kami dan membuat tindakan pembetulan yang sepatutnya agar situasi sebegini tidak berulang di masa akan datang," tambah kenyataan itu lagi.

MYAirline berkata, pihaknya mengutamakan keselesaan dan kepuasan setiap penumpang khususnya bagi ibu, bapa dan penjaga yang melancong bersama kanak-kanak.

"Susulan daripada penyiasatan yang sedang dijalankan, kami komited untuk belajar daripada pengalaman ini untuk perbaiki lagi mutu perkhidmatan kami dan memastikan pelancongan yang positif untuk semua penumpang," ujarnya.

Insiden tular itu difahamkan berlaku ketika keluarga terbabit dalam perjalanan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 pada Rabu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram