Ibu bapa malu dilayan macam 'pengganas' hanya kerana anak menangis ketika naik pesawat dari Langkawi


  • Massa
  • Jumaat, 26 Mei 2023

Fear Dawooz sempat merakam beberapa video berkenaan insiden tersebut bagi dijadikan bahan bukti sekiranya diperlukan.

SEORANG bapa mengalami detik memalukan ketika menaiki penerbangan sebuah syarikat tambang murah negara selepas anak bongsunya yang baru berusia dua tahun dihalau secara terbuka daripada penerbangan tersebut kerana tidak duduk kerusi pesawat ketika proses perlepasan.

Insiden tersebut dikongsikan sendiri pengguna Facebook yang memakai nama Fear Dawooz menerusi hantaran dibuat pada Jumaat.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dia bersama, isteri dan tiga orang anaknya dalam perjalanan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 pada Rabu lalu.

Difahamkan, ketika proses berlepas, tiada sebarang masalah berlaku dengan kesemua ahli keluarganya dapat duduk di tempat masing-masing termasuk anak bongsunya itu yang duduk di tempatnya sendiri.

"(Tapi) tiba-tiba masa untuk kru kabin periksa semua penumpang, salah sorang tanya dekat wife aku, 'anak puan ada seat ke?'. Wife aku pun balas 'ada'. Tapi boleh tak you bagi bayi punya tali pinggang keledar sebab anak I menyusu badan dan takut dia tak boleh duduk diam dekat seat dia sebab baru dua tahun”.

"Maka dia pun rujuk pada ketua kru dan datang semula bagitau 'tak boleh puan, dua tahun ke atas kena duduk di seat”," tulisnya.

Menurut Fear Dawooz, dia dan isterinya terpaksa menerima keadaan tersebut meskipun dalam penerbangan datang sebelum ini dari KLIA2 ke Langkawi, kru kapal terbang syarikat sama itu tidak mempunyai masalah memberikan kemudahan tersebut memandangkan anaknya itu baru berusia dua tahun lima hari.

WhatsApp Image 2023-05-26 at 3.50.09 PM

Fear Dawooz berkata, anaknya mula tidak mahu duduk di tempat sendiri ketika pesawat mula bergerak bagi proses perlepasan. — Facebook/FearDarwooz

Katanya, keadaan kemudiannya berubah ketika pesawat mula bergerak apabila anak bongsunya itu mula menangis dan meronta-ronta selepas diletakkan di atas kerusi dan dipakaikan tali pinggang keledar keselamatan di kerusi pesawat.

"Dia bangun dan duduk dekat wife aku. Kru kabin tadi datang semula dan ingatkan untuk suruh anak aku duduk. Hanya ingatkan sahaja tanpa bertanya anak aku okay ke sebab masa tu anak aku menangis teruk sebab baru sahaja bulan lepas naik flight duduk dengan emaknya, tiba-tiba kali ni kena duduk sendiri," ujarnya.

BACA LAGI: Kes tular penumpang dilayan macam 'pengganas', MYAirline mohon maaf, jalan siasatan elak insiden berulang

Fear Dawooz berkata, disebabkan situasi tersebut, anaknya menangis tidak henti hampir 20 minit ketika proses perlepasan dengan cubaan dia dan isterinya memujuk menemui jalan buntu.

Katanya, keadaan itu juga mula mendapat perhatian daripada ketua kru kabin yang datang meminta dengan nada agak keras supaya dia memastikan anaknya duduk di kerusi sendiri.

Menurutnya, dia juga cuba mengulangi permintaan agar diberikan tali pinggang keselamatan untuk bayi atau seat belt extender beberapa kali termasuk kepada ketua kru kabin berkenaan namun tetap tidak dibenarkan dan hanya dimaklumkan ia merupakan polisi syarikat perlu dipatuhi.

Dengan tidak mempedulikan situasi yang berlaku itu, dia berkata, ketua kabin terbabit terus menghubungi kapten kapal berkenaan dipercayai bagi menceritakan keadaan di kabin.

WhatsApp Image 2023-05-26 at 3.50.42 PM

Fear Dawooz berkata, cubaan dia dan isterinya untuk menenangkan anaknya ketika proses perlepasan tidak berjaya. — Facebook/FearDarwooz

Fear Dawooz berkata, dia percaya kru itu tidak menceritakan keadaan sebenar dan hanya memberitahu bahawa terdapat 'penumpang yang tidak mahu duduk di kerusi pesawat'.

"Masa ni la saat paling bersejarah dan memalukan dalam hidup aku dan wife bila mana lepas je kru tadi letakkan telefon, serta merta kapten kapal umum 'to passenger seating on row **(nombor kerusi), please give your cooperation to remain seated or else, we will call our ground security to disembark (turunkan) you from the plane'”.

"Aku ingatkan dalam filem dan berita pasal serangan pengganas sahaja yang kena turun dari kapal terbang. Rupanya anak menangis taknak duduk pakai tali pinggang keledar pun kena!!! Kena batang hidung sendiri baru tahu macam mana rasa dia.

"Bayangkan perasaan aku dan wife masa tu yang tengah struggle nak tenangkan anak yang tengah menangis teruk demi nak ikut SOP diorang, tiba-tiba kena ugut sampai nak halau keluar dari flight!" ujarnya.

Bagaimanapun, Fear Dawooz berkata, kapal tersebut tetap berlepas di sebalik situasi itu dengan anaknya kemudian mula berhenti menangis dan dalam keadaan tenang selepas penerbangan sudah stabil ketika berada di udara.

Dalam pada itu, dia berkata, tindakannya merekodkan beberapa video bagi merakam kejadian tersebut sebagai bukti turut menyebabkan timbulnya isu selepas mendarat di KLIA2 dengan pegawai keselamatan di lapangan terbang itu memintanya untuk memadam klip tersebut.

Katanya, dia tidak memadam video berkenaan kerana kejadian tersebut telah memalukan keluarganya dan mahu pihak pengurusan syarikat itu membuat permohonan maaf kepadanya agar agar isu itu tidak berlaku lagi di kemudian hari termasuk kepada penumpang lain yang turut berhadapan isu sama.

Meskipun sudah meninggalkan emel dan nombor telefonnya kepada kepada pegawai syarikat berkenaan bagi membolehkannya mendapat respons ekoran insiden tersebut, Fear Dawooz berkata, dia masih tidak mendapat sebarang maklum balas.

"Bunyi agak melampau tapi hakikatnya benda ni terjadi pada aku, wife dan anak aku yang memang kitorang akan ingat sampai bila-bila.

"Untuk korang yang selalu travel atau plan untuk travel dengan anak kecil dengan flight, semoga perkongsian ini dapat membantu," tulisnya.

Majoriti cuba mendapatkan komen lanjut daripada ibu bapa terbabit sama ada mahu mengambil tindakan lanjut berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram