MYAirline dapat lesen Disember 2021 ketika saya bukan lagi PM — Muhyiddin


  • Politik
  • Rabu, 18 Okt 2023

Muyhiddin Yasin menafikan dakwaan terlibat dengan isu MYAirline pada Rabu.

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan bahawa beliau mempunyai kaitan dengan isu yang mengakibatkan penutupan syarikat penerbangan MYAirline.

Muhyiddin yang merupakan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu menegaskan, beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai latar belakang syarikat itu.

“Saya dapati ada pihak yang cuba mengaitkan saya dengan kemelut yang melibatkan syarikat penerbangan MYAirline.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tiada kaitan langsung dengan syarikat penerbangan ini atau mana-mana pemegang saham syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Katanya, syarikat tersebut mendapat kelulusan bersyarat lesen perkhidmatan udara pada 22 Disember 2021 iaitu semasa beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

msg1050426791-17619

Syarikat penerbangan MYAirline Sdn. Bhd yang menghentikan operasi pada 12 Oktober lalu.

"Penglibatan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) sebagai peguam bagi pihak pemegang saham syarikat MYAirline tidak boleh dikaitkan dengan saya. RDS sebagai sebuah firma guaman berhak untuk mewakili sesiapa sahaja yang memerlukan khidmat guamannya.

"Saya percaya ada pihak-pihak tertentu yang cuba mencemarkan nama baik saya dengan membuat tuduhan jahat kononnya saya terbabit dengan syarikat ini. Hentikanlah politik murahan yang kotor ini," katanya lagi.

Pada 12 Oktober, syarikat penerbangan tambang murah itu mengumumkan penggantungan operasi berkuat kuasa berpunca daripada masalah kewangan yang teruk selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata, penggantungan tersebut akan berlanjutan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Sementara itu, pengasas bersama dan pemegang saham majoriti MYAirline Sdn. Bhd serta isteri dan anak lelakinya juga dilaporkan telah direman empat hari kerana didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Susulan itu, pihak terbabit ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram