Had umur diturunkan, orang muda mungkin boleh jadi ahli Dewan Negara


  • Primer
  • Khamis, 26 Okt 2023

Wan Junaidi berkata, langkah melantik individu berumur 18 tahun dan ke atas untuk menjadi ahli Dewan Negara akan membolehkan kerajaan memahami isu belia dengan lebih baik. — Gambar hiasan

DEWAN Negara sedang dalam perancangan untuk melaksanakan langkah bagi membolehkan pelantikan individu berusia 18 tahun dan ke atas bagi jawatan senator.

Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, satu penilaian sedang dibuat bagi mewujudkan peruntukan khas di bawah Perlembagaan Persekutan bagi memudahkan perkara tersebut.

"Saya bercadang memperkenalkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan supaya kita boleh melantik belia menjadi ahli Dewan Negara.

“Mengenai cara memindanya, saya serahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

“Saya cadang kita wujudkan satu peruntukan di bawah (Perkara 45 Perlembagaan) untuk melantik belia berumur 18 tahun ke atas,” katanya dalam satu temu bual dengan The Star di pejabatnya di bangunan Parlimen dekat Kuala Lumpur pada Isnin.

Pada masa ini, seseorang mesti berumur sekurang-kurangnya 30 tahun untuk menjadi senator.

Wan Junaidi berkata, langkah melantik individu berumur 18 tahun dan ke atas untuk menjadi ahli Dewan Negara akan membolehkan kerajaan memahami isu belia dengan lebih baik.

“Dengan cara ini, kita boleh mendapatkan beeberapa input daripada belia dan belajar mengenai keperluan mereka.

“Sebagai contoh, seseorang yang sedang belajar di universiti dan dipilih untuk mengetuai kesatuan pelajar secara automatik boleh dilantik sebagai senator melainkan terdapat sesuautu isu yang menghilangkan kelayakannya.

“Pelantikan tersebut juga boleh membabitkan mereka (yang aktif) dalam kumpulan belia. Dengan ini, kita boleh mempunyai perwakilan yang lebih besar daripada golongan muda di Dewan Negara,” ujarnya.

Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pada masa ini, Dewan Negara terdiri daripada 70 orang senator dan Wan Junaidi turut mempunyai misi untuk menambah bilangan ahli di Dewan Rakyat.

Usaha itu juga meliputi inisiatif meningkatakn lagi lebih ramai penyertaan wanita dan wakil tambahan dari setiap negeri.

“Bagi negeri, mungkin libatkan peningkatan sebanyak tiga lantikan bagi setiap negeri. Untuk Wilayah Persekutuan, mungkin kita mengekalkan satu wakil dari Labuan tetapi menambah Putrajaya kepada dua dan Kuala Lumpur boleh mempunyai tiga.

“Bagi meningkatkan perwakilan wanita, satu lagi peruntukan di bawah Perlembagaan boleh diwujudkan untuk tujuan ini.

“Kita melihat dominasi golongan lelaki manakala bilangan wanita (terlibat dalam proses pembuatan keputusan) tidak meningkat.

"Kami melihat wanita mendominasi banyak bidang lain tetapi bukan di peringkat pembuatan keputusan. Jadi, saya ingin melihat lebih ramai wakil wanita (di Dewan Tinggi),” katanya.

Keahlian Dewan Negara ketika ini terdiri daripada 26 ahli yang dipilih daripada Dewan Undangan Negeri di 13 negeri dengan setiap negeri mempunyai dua orang wakil.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri akan melantik 44 anggota termasuk dua dari Kuala Lumpur dan masing-masing seorang dari Labuan dan Putrajaya.

Negara lain yang turut menetapkan had umur 30 tahun untuk keahlian Dewan Negara mereka ialah Kanada dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, United Kingdom menghadkan pelantikan itu terbuka kepada mereka berusia lebih dari 21 sementara Senat Australia (18 tahun). — The Star/ARFA YUNUS

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram