Tempat duduk Syed Saddiq diubah ke blok pembangkang


  • Politik
  • Isnin, 11 Sep 2023

Syed Saddiq akan ditempatkan di blok pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat mulai Selasa susulan keputusannya untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan. 

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan ditempatkan di blok pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat mulai Selasa susulan keputusannya untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata beliau menerima surat daripada Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berhubung permohonan untuk mengubah tempat duduk di dalam Dewan Rakyat.

"Saya telah menerima surat, beliau memohon untuk mengubah tempat, tidak ada masalah, saya telah meminta pihak pentadbiran mengubah tempat beliau ke tempat pembangkang,” katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen pada Isnin.

Pada Ahad, Syed Saddiq dilapor menarik diri sebagai penyokong kerajaan dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bersidang enam hari bermula hari ini yang memberi tumpuan kepada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen dijadual selama tiga hari bermula esok dan jawapan oleh kementerian berkaitan pada 18 serta 19 September.

Terdahulu, Johari menerima kunjungan hormat Speaker Parlimen Korea Selatan, Kim Jin-pyo dengan kedua-dua pihak antaranya membincangkan mengenai kerjasama dalam bidang teknologi.

"Saya mengajak beliau untuk melihat dari sudut ASEAN kerana kita akan menjadi pengerusi bagi persidangan 2025...bagaimana teknologi yang dia ada dan tenaga buruh yang kita ada, bagaimana kita boleh membangunkan rantau ini sebagai rantau yang dihormati,” katanya.

Jin-Pyo juga meluangkan masa menyaksikan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin selain mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Dr Junaidi Tuanku Jaafar. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram