MESYUARAT Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ke-15 bagi Dewan Rakyat akan berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember ini.
Rakyat sudah semestinya menunggu dengan penuh debaran hari yang bersejarah tersebut selepas kerajaan baharu berjaya dibentuk.
Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan usul undi percaya bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10.
Penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, terdapat beberapa perkara yang bakal menjadi tumpuan pada mesyuarat pertama tersebut.
Azmi Hassan
"Kebiasaannya, kita akan melihat sesi angkat sumpah oleh ahli Parlimen yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
"Seterusnya, kemungkinan besar terdapat pemilihan Speaker dan timbalan bagi penggal Parlimen baharu," katanya kepada Majoriti.
Kata Azmi, Tan Sri Azhar Harun merupakan Speaker Dewan Rakyat ketika ini yang menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada 13 Julai 2020.
"Saya percaya, sudah pastinya Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan individu baharu dilantik menggantikan tempat Tan Sri Azhar selain mahukan individu yang lebih 'mesra' dengan kerajaan ketika ini.
"Bagaimanapun, kita harus menunggu pada hari tersebut bagi mengetahui siapakah individu yang dilantik," jelasnya.
Tan Sri Azhar Harun
Sehingga kini, terdapat dua nama yang disebut-sebut menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof.
Tambah Azmi, sesi pengundian undi percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perkara yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia.
"Ia penting untuk mengelakkan timbulnya keraguan mengenai keabsahan sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.
"Jika usul ini berjaya, maka, Kerajaan dapat meneruskan tugas hakiki kepada negara sementara pembangkang sebagai check and balance.
"Selain itu, usul ini bertujuan menghentikan tohmahan terhadap Perdana Menteri yang didakwa tidak mempunyai majoriti," katanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Pada sidang media pertama Anwar selepas beliau mengangkat sumpah jawatan 24 November lalu memaklumkan satu usul undi percaya akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada 19 Disember ini bagi menamatkan persoalan mengenai keabsahannya selaku Perdana Menteri.
Pada masa sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bakal memperoleh sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen pada usul undi percaya dalam sidang khas yang akan berlangsung nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram