'Bukan formula semata-mata', Hishammuddin minta ahli Parlimen 'jadi' rakyat


  • Politik
  • Khamis, 26 Okt 2023

Hishammuddin Hussein mengur sikap segelintir ahli menteri yang disifatkan tidak berminat dengan perbahasan Belanjawan 2024. — Awani

AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegur menteri-menteri dalam Kerajaan Perpaduan yang disifatkan tidak berminat dengan Belanjawan 2024.

Beliau berkata, kehadiran anggota Kabinet di Dewan Rakyat khususnya sewaktu sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 menunjukkan seolah-olah mereka tidak peduli untuk mendengar perbahasan dan ia membimbangkan barisan Ahli Parlimen sepertinya.

"Saya di sini bukan untuk menuding jari kepada sesiapa, tetapi hanya memberi pandangan supaya kerajaan mesti dilihat sebagai pihak yang mampu memberikan harapan dan sandaran kepada rakyat.

"Letaklah diri di tempat mereka, rasai kesusahan dan fikirkan kebimbangan mereka. Bukan sekadar formula semata-mata.

"Insya-ALLAH, tindakan itu akan seiring dengan apa yang diperlukan dan diharapkan oleh rakyat," katanya sewaktu bangkit membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM393.8 bilion untuk Belanjawan 2024 iaitu belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu RM303.8 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus.

Mengulas lanjut, bekas menteri daripada Barisan Nasional (BN) itu berkata, berdasarkan kepada pemerhatian beliau, tiada tindakan segera yang dibuat oleh mana-mana menteri selepas pengumuman belanjawan tahunan itu memasuki minggu kedua.

"Sebagai contoh, beratus bilion berkaitan pelaburan langsung asing diumumkan, pelbagai MoU (memorandum persefahaman) telah ditandatangani bersama pelbagai negara dari pelbagai sektor antaranya telekomunikasi, keselamatan, tenaga, automotif dan banyak lagi.

"Namun apakah tindakan susulan yang telah dilakukan. Tindakan menteri-menteri tidak mencukupi jika hanya bersandarkan kenyataan melalui sidang media atau di media sosial," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram