SEORANG lelaki mengalami nasib malang apabila terjatuh di atas jalan raya selepas beg silang dipakainya dipercayai ditarik dalam kejadian dekat Jalan Kota SAS, Kuantan, Pahang.
Video berdurasi 100 saat mengenai kejadian tersebut tular di TikTok sejak Selasa.
Berdasarkan klip tersebut, lelaki berkenaan pada awalnya dilihat menunggang motosikal secara bersendirian.
Bagaimanapun, sebuah lagi motosikal yang ditunggang dan dibonceng oleh dua orang lelaki kemudiannya didapati mengekori sebelum dipercayai menarik beg silang ketika berada berdekatan mangsa.
Susulan daripada tindakan tersebut, motosikal ditunggang mangsa kemudiannnya terjatuh dengan lelaki itu dilihat tergolek di atas jalan.
Motosikal dinaiki dua lelaki terbabit juga dilihat terus meninggalkan lokasi.
"Hati-hati ya. Siapa-siapa yang memakai beg galas atau silang," ujar tulisan dalam video tular tersebut.
Di ruangan komen, pengguna TikTok yang menggunakan nama akaun, Mat Rahimen berkata, mangsa yang terselamat dalam kejadian itu mengalami kecederaan di tulang bahu manakala bahunya mengalami keretakan.
Pada masa sama, seorang lagi pengguna TikTok yang mendakwa merupakan kakak kepada mangsa, Faezira mendakwa insiden tersebut berpunca akibat perbuatan dengki yang melibatkan kenalan adiknya.
"Tak puas hati, dengki. Dengar kawan-kawan juga," tulisnya yang turut memaklumkan kes tersebut berkemungkinan sedang dalam siasatan pihak berkuasa.
Sementara itu, rata-rata netizen berpandangan bahawa kejadian itu dilihat seakan-akan disengajakan untuk mendatangkan bahaya kepada mangsa.
"Aku seorang je ke nampak abang pakai beg silang tu macam kena tarik beg dia," kata Eiin Eiin.
"Macam sengaja pun ada. Sebab beg dia ada lagi dekat dia," ujar Faiz ENTT.
"Kesiannya, kenapalah perangai manusia ni," tulis Siti Rahmah.
Setakat laporan ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
