[VIDEO] Padah memecut di selekoh, penunggang motor nyaris jatuh terjunam dari jambatan


  • Benua
  • Selasa, 10 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan penunggang motosikal yang hampir jatuh ke bawah jambatan di selekoh jalan di Surat, Gujarat, India pada Ahad.

SEORANG penunggang motosikal berdepan detik-detik cemas sebelum nyaris jatuh terjunam dari jambatan ketika melalui selekoh jalan di Surat, Gujarat, India pada Ahad.

Melalui video yang dimuat naik di Twitter (X) oleh @indiatvnews pada Isnin, mangsa yang juga merupakan seorang lelaki itu dilihat cuba memotong sebuah kereta sebelum hilang kawalan dan terbabas ke sisi dinding jambatan tersebut.

Dalam video dashcam yang dirakam oleh pemandu kereta terbabit, penunggang motosikal itu dilaporkan terselamat kerana sempat menahan separuh badannya ketika mahu terjatuh ke bawah jambatan.

Pada masa yang sama, mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan terutama di kepala disebabkan topi keledar yang dipakainya ketika kemalangan berlaku.

Bijak mengawal keadaan, pemandu kereta di belakangnya yang juga pemilik video berkenaan turut berhenti serta-merta pada jarak yang selamat dengan kelajuan yang sederhana.

Sementara itu, penunggang motosikal yang terduduk di atas jalan itu dilihat berdiri kembali sebelum berlari mengambil motosikalnya lalu beredar dari tempat kejadian.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa India berhubung kejadian setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram