[VIDEO] Sudah tiba masanya kembalikan GST — Ismail Sabri


  • Primer
  • Selasa, 24 Okt 2023

Harga ayam yang terus meningkat dikatakan berpunca daripada kejatuhan nilai ringgit. — Gambar hiasan/Bernama

CUKAI barang dan perkhidmatan (GST) merupakan salah satu isu yang sememangnya hangat didebatkan sejak ia mula diperkenalkan lagi pada 2015 kerana ia dikatakan sedikit sebanyak telah membebankan rakyat Malaysia.

GST merupakan cukai penggunaan dan dikenakan terhadap hampir kesemua transaksi dalam proses pengeluaran terpakai ke atas kira-kira 60 peratus barangan dan perkhidmatan di bawah Indeks Harga Pengguna.

Selepas itu, pada 2018, GST dimansuhkan dan ditukarkan kepada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) kerana dikatakan sebagai sistem percukaian yang lapuk, tidak cekap dan tidak telus.

Namun, ia kembali menjadi perdebatan hebat di Parlimen apabila penggunaan semula GST harus dipertimbangkan demi menambah baik ekonomi Malaysia.

msg1050426791-17996

GST yang pernah diperkenalkan pada 2015 kini mahu dipertimbangkan kegunaannya untuk membantu ekonomi Malaysia. — Gambar hiasan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, GST pula terbukti jauh lebih berkesan, telus dan adil berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekarang.

Katanya, cadangan untuk meningkatkan SST daripada 6 peratus kepada 8 peratus adalah bukan langkah yang betul berbanding sistem cukai lain.

"Walaupun kenaikan itu tidak melibatkan sektor makanan, ia akan membawa kesan domino terhadap aspek lain yang akan mempengaruhi kenaikan harga barang kerana peniaga tidak akan menyerap kos.

“Saya nyatakan semula sudah tiba masanya kerajaan melihat pelaksanaan semula GST yang telah dimansuhkan pada 2018,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Selasa.

Beliau menambah, apabila GST dimansuhkan, negara kehilangan kira-kira RM20 bilion hingga RM30 bilion setahun disebabkan 'ekonomi hitam'.

"Meningkatkan SST sebanyak 2 peratus juga hanya menghasilkan pendapatan tambahan sebanyak RM3 bilion untuk negara.

"Adakah ini berbaloi jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi oleh rakyat?," katanya.

Ketika mengumumkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang untuk menaikkan cukai perkhidmatan daripada 6 peratus kepada 8 peratus tetapi tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan, minuman dan telekomunikasi.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut mempersoalkan kesediaan Sistem Pangkalan Data Pusat (Padu) yang akan digunakan untuk memastikan subsidi hanya diberikan kepada mereka yang layak.

"Adakah sistem itu sudah sedia? Adakah ia telah diuji? Kita hanya tinggal dua bulan sebelum pelancarannya. Persoalan seterusnya adalah siapa yang layak mendapat subsidi.

"Jika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan subsidi petrol bersasar, bagaimana kerajaan akan menentukan mereka yang layak? Adakah melalui pendapatan bulanan atau kapasiti enjin kenderaan mereka," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan bagaimana untuk merasionalisasikan atau menyasarkan subsidi yang telah pun dirancang oleh Datuk Seri Najib Razak semasa beliau menjadi perdana menteri.

Ismail Sabri berkata, sepanjang menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan, subsidi telah diperluaskan untuk menampung harga ayam dan telur walaupun ia memerlukan kos yang besar.

“Namun kini apabila harga ayam masih belum diapungkan, sebuah akhbar antarabangsa melaporkan harga ayam yang melebihi RM11 sekilogram. Apa yang akan berlaku pada 2024 apabila harga itu diapungkan?.

msg1050426791-17997

Ismail Sabri ketika perbahasan di Parlimen pada Selasa.

“Ia pastinya lebih sukar untuk dikawal kerana 70 peratus daripada kos pengeluaran ayam adalah daripada makanan ayam import, selain daripada logistik, buruh, utiliti dan ubat-ubatan.

"Harga makanan ayam juga dijangka terus meningkat berikutan kejatuhan nilai ringgit," katanya.

Ismail Sabri turut membangkitkan isu kartel, sambil menambah lima syarikat yang terbabit dalam menentukan harga makanan ayam.

Sementara itu, beliau juga mengatakan bahawa pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menjalankan siasatan berhubung perkara itu dan sempat melahirkan rasa terkejut dengan isu bekalan beras di pasaran.

"Tetapi sehingga hari ini, tiada keputusan. Mengapa ia mengambil masa begitu lama," katanya.

"Ini tidak sepatutnya berlaku. Kami mempunyai stok simpanan yang boleh bertahan sehingga enam bulan. Namun, keadaan semasa nampaknya seolah-olah kami tidak mempunyai stok simpanan yang mencukupi," katanya. — The Star/GERARD GIMINO, RAHIMI RAHUM dan ARFA YUNUS

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram