Teliti 3 tumpuan utama Bajet 2024


  • Massa
  • Rabu, 04 Okt 2023

Pembentangan Bajet 2024 akan berlangsung di Dewan Rakyat pada 13 Oktober ini.

MEMASUKI bulan Oktober setiap tahun, Dewan Rakyat akan bersidang bagi membahas dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan yang bakal menentukan jumlah dan perancangan belanjawan bakal dilaksanakan pada tahun seterusnya.

Kebiasaannya, RUU Perbekalan atau lebih mudah dipanggil bajet tahunan itu bakal dibentangkan pada hari Jumaat minggu ketiga bulan Oktober.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lalu memaklumkan ia akan diawalkan seminggu iaitu pada 13 Oktober ini.

Berbanding tahun lepas, Bajet 2024 dilihat bakal menjadi belanjawan yang sepenuhnya mewakili aspirasi Anwar yang juga memegang tanggungjawab selaku Menteri Kewangan.

Ini kerana bagi Bajet 2023, beliau yang mempunyai waktu yang cukup terhad untuk menyediakan RUU tersebut selepas dilantik menjadi Perdana Menteri dalam tempoh lebih kurang tiga bulan.

Justeru, berikut Majoriti senaraikan empat perkara yang bakal menjadi tumpuan pada pembentangan Bajet 2024:

1. Pelaksanaan subsidi bersasar

Sejak mengambil alih kerajaan pada akhir November tahun lalu, perbincangan mengenai keperluan melaksanakan subsidi bersasar sememangnya menjadi perkara utama yang ditimbulkan dalam kalangan pimpinan kerajaan.

Anwar pada 27 November 2022 menegaskan bahawa pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar demi memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan dapat menikmatinya.

Sementara itu, dalam kenyataan terbaharunya, Anwar pada 19 September lalu berkata, perincian pelaksanaan subsidi bersasar akan dibentangkan dalam Belanjawan Madani Kedua 2024 pada bulan ini.

Perkara tersebut dinyatakan ketika beliau melakkan penggulungan pada perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat.

Untuk rekod, pada waktu ini, terdapat empat barangan dan perkhidmatan asas diberikan subsidi secara pukal iaitu beras, tepung gandum, minyak masak, gas memasak serta diesel petrol RON 95.

Secara umumnya, cadangan terhadap pelaksanaan subsidi bersasar ini dibuat bertujuan bagi memulihkan kedudukan fiskal negara yang sekian lama berada dalam defisit.

Sehingga akhir 2022, jumlah keseluruhan hutang kerajaan ialah RM1.08 trilion dan ia dilihat merupakan satu bebanan kepada kewangan kerajaan.

1955097

Anwar ketika menghadiri pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari tahun ini.

Dalam pada itu, perbelanjaan bagi menampung subsidi dilaksanakan kerajaan juga didapati mencapai kepada satu jumlah yang agak besar.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, kos subsidi ditanggung pentadbiran negara mengalami peningkatan dua kali ganda dengan ia menaik daripada RM35.2 bilion pada 2008 kepada RM67.4 bilion.

Katanya, jumlah subsidi pada 2022 menyumbang hampir 4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

"Dalam kata lain, hampir satu perempat perbelanjaan mengurus kerajaan digunakan untuk memberi subsidi, bukannya kepada perkara yang mungkin lebih produktif untuk negara," tulisnya dalam satu laporan media tempatan.

Lebih merugikan, pemberian subsidi secara pukal itu dilihat tidak mencapai objektif asalnya apabila ia tidak hanya dinikmati oleh golongan memerlukan tetapi juga dalam kalangan individu yang berpendapatan tinggi.

Ini terbukti apabila data menunjukkan bahawa untuk tahun 2022, sebanyak 35 peratus golongan kaya (T20) menikmati subsidi petrol, diesel dan gas memasak dengan nilai RM17.8 bilion.

Peratus itu adalah lebih tinggi berbanding kumpulan kategori B40 yang hanya 24 peratus daripadanya mendapat manfaat manakala M40 pula (41 peratus).

Sehubungan itu, adalah menarik untuk melihat bagaimana kerajaan melakukan penstrukturan semula terhadap sistem subsidi yang sekian lama dilaksanakan di dalam negara.

Selain daripada empat barangan dan perkhidmatan yang diberikan subsidi secara pukal, perkhidmatan eletrik dijangka turut mengalami penstrukturan subsidi bermula tahun depan.

2. Sistem agihan bantuan

Sekiranya pelaksanaan subsidi bersasar itu benar-benar dilaksanakan bermula pada tahun depan, ia pastinya bakal memberikan impak terhadap perbelanjaan kebanyakan rakyat Malaysia.

Untuk menangani kesan tersebut, langkah terbaik boleh diusahakan kerajaan adalah dengan memastikan supaya setiap bantuan diberikan termasuk penyampaian subsidi sampai kepada keseluruhan kumpulan memerlukan.

Dengan langkah ini, setiap tambahan kos perbelanjaan yang berlaku akibat pelaksanaan dasar itu akan dapat ditampung menerusi bantuan dan subsidi diberikan.

Bagaimanapun, untuk memastikan perkara tersebut, kerajaan perlu bukan sahaja mempunyai sistem pangkalan data yang adil dan menyeluruh tetapi juga kaedah agihan yang benar-benar efisien.

Untuk tujuan itu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Mei lalu mengumumkan keraajan bakal membuat perubahan terhadap pengkelasan pendapatan rakyat sedia ada yang digunakan ketika ini.

Katanya, rakyat di dalam negara tidak lagi akan dilihat mengikut tiga kumpulan pendapatan iaitu B40, M40 dan T20, sebaliknya mengikut nilai pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.

Ujarnya, segala maklumat perihal corak dan trend semasa perbelanjaan bersih isi rumah yang akan dimasukkan di bawah Sistem Pangkalan Data Utama (PADU)

Menerusi kenyataan terbaharunya pada 11 September lalu, Rafizi berkata, sistem PADU dijangka akan dibuka kepada orang ramai bermula pada Januari depan untuk proses pengesahan kedudukan sosioekonomi masing-masing.

Ujarnya, dengan siapnya pangkalan data itu, ia sekali gus membolehkan kerajaan untuk melaksanakan program subsidi bersasar bermula tahun depan.

Bagaimanapun, Rafizi berkata, kaedah dan mekanisme pemberian bantuan dan subsidi masih belum diputuskan secara muktamad.

"Kaedah atau mekanisme sama ada menerusi pindahan tunai atau pemberian kad akan diputuskan dari semasa ke semasa kerana keutamaan pada masa ini untuk memastikan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah lengkap," ujarnya.

Sementara itu, terdapat beberapa pimpinan kerajaan yang sudah memberi bayangan mengenai kaedah agihan bantuan dan subsidi yang akan dilaksanakan bagi barangan tertentu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh menjelaskan, kaedah pembelian minyak masak peket kepada kumpulan sasar seperti yang dirancang dilaksanakan akan menggunakan mekanisme pengenalan diri (ID).

Jelasnya, kaedah pembelian menggunakan kad pengenalan dan aplikasi MySejahtera tidak digunakan kerana kegunaan keluarga tidak sama dengan keperluan peniaga mikro.

Beliau sebelum itu pada Julai menyatakan kaedah pembelian minyak masak paket kepada kumpulan sasar akan dijalankan mulai tahun depan dan seramai 5.8 juta isi rumah daripada golongan M40 dan B40 sudah dikenal pasti layak.

3. Pengenalan cukai baharu

Dalam pada itu, antara yang turut menjadi tumpuan pada pembentangan kali ini adalah mengenai kemungkinan pengenalan cukai baharu dalam sistem percukaian negara.

Pada tahun lalu, kerajaan menerusi Bajet 2023 mengumumkan pengenalan Cukai Barangan Mewah.

Ia membabitkan barangan antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah.

Sementara itu, bagi tahun ini pula, beberapa pimpinan kerajaan turut memberikan beberapa bayangan mengenai cukai baharu bakal diperkenalkan bagi belanjawan tahun depan.

Pada 11 September lalu, Rafizi berkata, kerajaan kini akan mengutamakan strategi untuk meluaskan sumber hasil negara termasuk fokus bagi membangunkan Cukai Keuntungan Modal yang dijadual dilaksanakan pada 2024.

Cukai Keuntungan Modal merupakan satu bentuk cukai termasuk di bawah kategori cukai langsung yang dikenakan ke atas keuntungan jualan aset seperti jualan saham, bon, hartanah, emas dan sebagainya.

Pada waktu ini, kerajaan hanya mengenakan Cukai Keuntungan Modal ke atas keuntungan jualan hartanah yang juga dipanggil Cukai Keuntungan Harta Tanah.

PKR vice-president Mohd Rafizi Ramli. - RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Dalam kenyataan tersebut, beliau turut tidak menolak kemungkinan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tanpa mememberikan sebarang tempoh pelaksanaannya.

“Kerajaan akan berpegang kepada strategi kami dan terbuka untuk melaksanakan apa jua cara bagi mencapai kemampanan fiskal melalui sumber yang lebih luas.

"Oleh itu, sama ada ia akan menjadi GST, Cukai Keuntungan Modal atau sebarang bentuk cukai langsung dan tidak langsung, kami hanya akan memutuskan berdasarkan kes ke kes atau tahun ke tahun," ujarnya.

Untuk rekod, Rafizi sebelum itu pada Mac berkata, dengan perbelanjaan berhemat dilaksakanan ketika ini, kerajaan tidak berhadapan dengan keperluan melaksanakan cukai baharu atau meninjau kepada pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang.

Jelas beliau lagi, peralihan kepada GST hanya sesuai ketika majoriti pendapatan rakyat lebih baik dan mencapai paras pendapatan wajar untuk membayar cukai pendapatan.

Perkara itu memberikan bayangan bahawa cukai kontroversi itu berkemungkinan besar tidak akan diperkenalkan dalam Bajet 2023.

Tambahan pula, Anwar sendiri dalam kenyataanya pada tahun ini berkata, Malaysia belum bersedia melaksanakan semula GST kerana tahap pendapatan rakyat masih rendah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram