'Dapatlah bantu dari sudut ekonomi', rakyat sambut baik program Payung Rahmah


  • Massa
  • Ahad, 15 Okt 2023

Ahmad Jamalulail percaya Payung Rahmah yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 merupakan satu inisiatif yang bagus.

RATA-RATA penduduk kampung Felda Bukit Cherakah, Selangor menyambut baik penerusan program Payung Rahmah yang dibentangkan kerajaan menerusi Belanjawan 2024.

Melalui inisiatif ini, kerajaan berhasrat untuk mewujudkan Payung Rahmah yang meliputi program Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Bakul Rahmah.

Menurut Ahmad Jamalulail, 29, dia menyokong penuh usaha kerajaan untuk meneruskan program itu kerana bakal membantu rakyat dari sudut ekonomi.

"Saya rasa memang ini satu berita yang baik, kerana bila program sebegini diteruskan, akan beri kelebihan kepada rakyat lagi-lagi penduduk kampung.

"Ramai orang boleh membeli barang keperluan dengan harga jauh lebih murah," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2023-10-15 at 5.52.00 PM (1)

Mohd Yasin Md Yassin turut menyokong penuh inisiatif kerajaan dalam Belanjawan 2024.

Selain itu, Mohd Yasin Md Yassin, 40, turut berasakan hal sama iaitu program Payung Rahmah ini bakal mengurangkan beban rakyat dari segi kewangan.

"Kalau kita pergi ke kampung kecil, kadang ada yang terjejas tidak mampu membeli barangan itu ini.

"Sekurangnya dapatlah membantu sedikit sebanyak bila kerajaan bentangkan belanjawan untuk turunkan harga barangan," katanya.

WhatsApp Image 2023-10-15 at 5.52.00 PM

Ridwan pula menyukai topik percukaian yang terdapat dalam kandungan Belanjawan 2024.

Di samping itu, Mohd Ridwan Ibrahim, 28, pula lebih suka jika kerajaan memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Dia yang merupakan pemilik sebuah kedai runcit berasakan dengan memperkenalkan semula GST bakal memberi kebaikan kepada peruncit kecil.

Ini kerana menurutnya, harga barangan yang diletakkan dalam sesuatu kedai tidak akan mengalami sebarang masalah penipuan harga jika diperkenalkan semula GST.

"Masalah seperti wujud sesetengah kedai yang mengambil kesempatan dengan menjual barangan pada harga yang terlalu tinggi tidak akan berlaku jika ditukarkan kepada GST semula," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram