PEMAIN bola sepak profesional terkenal Costa Rica, Jesus Alberto Lopez Ortiz atau lebih dikenali sebagai Chucho dilaporkan maut akibat dibaham buaya baru-baru ini.
Menurut laporan polis, Chucho diserang oleh seekor buaya di Sungai Canas yang terletak di wilayah Santa Cruz, Sepanyol.
Pemain yang beraksi bersama kelab Divisyen 2 Liga Costa Rica atau Liga Ascenco bersama Deportivo Rio Canas itu dipercayai terjun ke sungai selepas selesai bersenam.
Bagaimanapun, menurut saksi kejadian, punca sebenar kematian masih belum diketahui sama ada kerana lemas atau disebabkan oleh serangan reptilia tersebut.
Video kejadian itu dikongsikan di laman Twitter pada Jumaat, sebelum ia menjadi tular.
Berdasarkan rakaman tersebut, kelihatan mayat Chucho diheret oleh seekor buaya di sungai tersebut.
Pada masa sama, pihak polis yang berada di lokasi kejadian terpaksa melepaskan tembakan untuk membunuh buaya itu terlebih dahulu sebelum menarik mayat mangsa keluar sungai.
Chucho dipercayai terjun ke sungai selepas selesai bersenam. — Agensi
Dalam pada itu, kematian lelaki berusia 29 tahun itu disahkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan kelabnya.
“Berehatlah dengan tenang Chucho. Kami turut merasakan kesedihan bersama keluarga kamu. Kami akan merinduimu. Kamu telah membawa pergi sebahagian daripada kami bersama kamu selamanya sahabat.
“Hari ini adalah hari yang amat sukar buat kita semua dan kamu akan diingati sebagai seorang jurulatih, pemain dan seorang lelaki yang mengutamakan keluarganya,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram