PM ajak rakyat Malaysia turun padang tanda solidariti bersama Palestin di Bukit Jalil


  • Primer
  • Isnin, 23 Okt 2023

Anwar menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sertai perhimpunan solidariti bersama Palestin di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa. — Bernama

SUDAH lebih dua minggu sejak 7 Oktober lalu, tidak berhenti dunia menyaksikan ribuan penderitaan rakyat Gaza yang terpaksa bertahan tanpa sebarang bekalan makanan bahkan bahan api selepas rejim Zionis mengenakan sekatan sepenuhnya termasuk bekalan bahan api, elektrik dan air untuk operasi.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk ke Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin pada Selasa.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook Anwar Ibrahim pada Isnin, perhimpunan itu akan bermula daripada pukul 7.30 hingga 10.30 malam.

msg1050426791-17854

Poster perhimpunan solidariti bersama Palestin di Bukit Jalil pada Selasa. — Facebook/Anwar Ibrahim

“Ayuh seluruh rakyat Malaysia turun ke Axiata Arena, Bukit Jalil esok (Selasa) malam sebagai tanda solidariti kita bersama rakyat Palestin!,” tulisnya.

Pada masa sama, Ketua Sekretariat Media Perpaduan, Datuk Lokman Noor Adam memaklumkan bahawa Perdana Menteri dijangka turut serta untuk turun padang menghadiri perhimpunan solidariti tersebut.

Katanya, semua pihak tanpa mengira parti politik, agama dan bangsa dijemput untuk perhimpunan itu sebagai tanda solidariti terhadap kekejaman dilakukan kepada rakyat Palestin akibat kezaliman Zionis Israel.

Berdasarkan informasi yang dikongsikan, program tersebut dimulakan dengan solat maghrib berjemaah diikuti persembahan serta ucapan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kemuncak kepada himpunan rakyat Malaysia berbilang kaum itu adalah ucapan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Lokman juga menyeru agar peserta yang hadir digalakkan untuk berpakaian putih ke perhimpunan tersebut.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 4,651 penduduk di Semenanjung Gaza terkorban dan lebih 13,000 dilaporkan cedera sejak serangan bom tanpa henti yang dilakukan oleh tentera rejim Zionis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram