Polis siasat 2 murid rakam, sebar video rakan 13 tahun mandi ketika 'video call'


  • 112
  • Ahad, 22 Okt 2023

Kedua-dua suspek ditahan pada Sabtu selepas hadir memberi keterangan di balai polis Kuantan, Pahang. — Gambar Hiasan

POLIS menahan dua pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan memiliki dan mengedar video seorang kenalan perempuan mereka yang sedang mandi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kedua-dua suspek ditahan pada Sabtu, selepas hadir memberi keterangan ekoran laporan polis yang dibuat remaja perempuan berusia 13 tahun itu, pada Jumaat lepas.

"Pengadu mendakwa salah seorang suspek telah memberitahu mempunyai video dirinya sedang mandi dan meminta bayaran RM50 jika mahu video tersebut.

"Pengadu mendakwa video itu disebarkan oleh seorang lagi suspek, kerana ia dibuat semasa mereka berhubung menerusi panggilan video pada Mei lepas,” katanya semasa dihubungi di Kuantan, Pahang pada Ahad.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, kerana memiliki video lucah yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram