Didakwa hisap vape dalam Parlimen, Ikmal Hisham terkejut terima permohonan maaf jurugambar PM


  • Massa
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Ikmal Hisham Abdul Aziz didakwa menghisap sejenis rokok elektronik di Parlimen pada September lalu.

SUSULAN imej kontroversi memaparkan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menghisap rokok elektronik di Parlimen pada September lalu, beliau nyata terkejut apabila menerima permohonan maaf daripada jurugambar Perdana Menteri, Sadiq Asyraf baru-baru ini.

Menurut Ikmal Hisham, beliau bagaimanapun positif dengan permohonan maaf itu kerana isu terbabit masih lagi dalam peringkat perbincangan.

"Saya anggap positif walaupun terkejut kerana masih lagi di peringkat perbincangan untuk menyelesaikannya secara baik memandangkan saya tidak pernah hisap vape dan bukan perokok.

"Pen tersebut di letak di bibir secara spontan untuk seketika sahaja," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada petang Sabtu.

Sebelum ini, Sadiq Asyraf membuat permohonan maaf kepada ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) itu menerusi satu hantaran di laman sosial X pada Jumaat susulan tersebar satu gambar kontroversi yang mendakwa Ikmal Hisham sedang menghisap vape di dalam Dewan Rakyat.

"Saya memohon maaf kepada saudara Yang Berhormat Datuk Seri Ikmal Hisham sekiranya ada salah tanggapan bahawa objek yang dipegang beliau adalah vape.

"Berharap agar segala salah faham kini telah diselesaikan secara harmoni," tulisnya.

Terdahulu, Ikmal Hisham menafikan tuduhan yang beliau menghisap vape di Parlimen dan merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sadiq Asyraf. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram