Wujudkan institusi khas kendali subsidi pindahan tunai, 3 risiko perlu diketahui umum


  • Massa
  • Jumaat, 20 Okt 2023

Kerajaan disarankan untuk menubuhkan Institusi Pentadbiran Perpindahan Subsidi sebagai satu kaedah pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pindahan tunai. — Gambar hiasan

KERAJAAN perlu mewujudkan satu Institusi Pentadbiran Perpindahan Subsidi sekiranya mahu mengaplikasi kaedah pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pindahan tunai, kata pakar ekonomi Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Profesor Emeritus di Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak itu berkata, institusi berkenaan boleh diletakkan di bawah seliaan Kementerian Kewangan (MoF) dan akan bertindak sebagai paymaster kepada pemberian subsidi.

Beliau berkata, biarpun MoF sudah mempunyai bahagian pembayaran yang bertanggungjawab membuat pindahan kepada pelanggan atau pembekal kerajaan, namun bagi melicinkan pemberian subsidi pindahan tunai, wajar satu institusi dengan pengasingan tugas diwujudkan.

"Ini kerana ia melibatkan satu tugasan baharu dengan kerja yang banyak, malah penerima juga dijangka menjangkau lebih lapan juta orang, ia bukan jumlah kecil dari segi individu mahupun amaun bayarannya.

"Institusi ini nanti akan urus hal-hal terkait pentadbiran, pengurusan data termasuk verifikasi akaun, menentukan siapa golongan penerima dan memastikan pemindahan tunai dilakukan mengikut jadual," katanya kepada Bernama.

Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Barjoyai Bardai

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa persidangan Dewan Rakyat berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pindahan tunai bagi mengelak berlakunya ketirisan serta memberi manfaat kepada warga asing.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian secara pindahan tunai itu tidak boleh dilaksanakan untuk semua perkara, sebaliknya beberapa urusan tertentu sahaja.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Asisten Profesor Dr Abu Sofian Yaacob berkata, sekiranya dilaksanakan, kelayakan penerima subsidi melalui pemindahan tunai itu tidak seharusnya bersandar kepada pengelasan kategori B40, M40 mahupun T20.

Beliau berkata, terdapat kelompangan dalam kaedah pengelasan itu, jadi kerajaan perlu lebih memberi tumpuan kepada kelayakan penerima dengan meneliti satu demi satu permohonan yang diterima.

"Dalam keadaan semasa, B40 ke M40 dah tak relevan kerana tidak mencerminkan keadaan sebenar sesebuah keluarga, kena ambil kira lokasi mereka tinggal, pendapatan, pasangan bekerja atau tidak, jumlah anak dan tanggungan lain, faktor kesihatan keluarga, ini lebih adil tanpa prejudis mahupun mengikut kasta.

"Boleh contohi apa yang diamalkan di negara maju, United Kingdom contohnya bantuan kredit diberi mengikut manfaat seperti kategori pendidikan anak-anak, kediaman dan kadar upah," katanya.

Anwar memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pindahan tunai.

Dalam pada itu, Pakar Kewangan Keluarga, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, cadangan pemberian subsidi menerusi pemindahan tunai itu amat baik dalam mengatasi soal ketirisan kepada kira-kira 3.5 juta warga asing di negara ini.

Jelas Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia itu lagi, ia juga selaras dan rasional dengan apa yang sering diungkap Anwar iaitu mengatasi subsidi kepada bukan sasaran yakni golongan kelas atasan atau mahakaya.

"Tinggal lagi perlu perhalusi mekanisme penyalurannya, saya lihat dalam Belanjawan 2024 baru ini ada sebut soal Pusat Data Utama yang menggabungkan data daripada 200 agensi, jadi saya kira ia boleh dijadikan platform rujukan," katanya.

Fazli berkata, cadangan subsidi melalui pemindahan tunai itu juga selari ke arah era digitalisasi ketika ini, selain mencadangkan pemberian subsidi itu ditetapkan mengikut kemampuan kewangan kerajaan sama ada dikreditkan setiap tiga bulan, enam bulan atau setahun sekali.

Bagaimanapun, kerajaan juga perlu mengambil kira risiko yang boleh berlaku sekiranya Institusi Pentadbiran Perpindahan Subsidi ditubuhkan, antaranya termasuk:

1) Isu kebocoran data

Hacker using the Internet hacked abstract computer server, database, network storage, firewall, social network account, theft of data

Kes penyalahgunaan data peribadi bagi tujuan penipuan, jenayah siber, kecurian dan pemalsuan identiti kian berleluasa.

Isu kebocoran dan penjualan data peribadi bukanlah sesuatu yang baharu.

Malah sejak kebelakangan ini, kes-kes penyalahgunaan data peribadi bagi tujuan penipuan, jenayah siber, kecurian dan pemalsuan identiti kian berleluasa.

Antara kes yang pernah menggemparkan negara adalah pada Mei 2022 apabila wujud dakwaan data peribadi jutaan rakyat Malaysia berusia 18 hingga 82 tahun yang berada dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dijual dengan harga AS$10,000 (RM43,870) di forum pasaran pangkalan data.

Data peribadi tersebut termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat dan gambar serta beberapa data yang diperoleh daripada laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selain itu, terdapat lagi beberapa kes kebocoran data besar yang pernah dilaporkan media. Keadaan itu juga sebenarnya boleh mengurangkan tahap kepercayaan rakyat terhadap ketelusan sistem kerajaan.

2) Kerenah birokrasi

Public queuing up for the China visa application at Hampshire Place office at Jalan Mayang Sari, KL. — KAMARUL ARIFFIN/The Star

Kerenah birokrasi yang dilihat seperti tiada kesudahan sehingga mencalar imej kerajaan.

Tidak dinafikan, ada sebahagian besar daripada agensi atau jabatan kerajaan yang mempunyai kerenah birokrasinya yang tersendiri sekali gus boleh menyebabkan kaedah pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pindahan tunai tersebut lambat diterima.

Dalam keadaan ini, tidak mustahil proses pengagihan bantuan akan mengambil masa yang agak lama sebelum ia diterima rakyat.

Pada masa sama, kerenah birokrasi yang dilihat seperti tiada kesudahan juga sebenarnya sedikit sebanyak boleh mencalarkan imej kerajaan.

Malah lebih membimbangkan, apabila terlalu banyak birokrasi, muncul pula risiko bantuan tunai kerajaan tidak sampai ke tangan penerima yang sebenar.

Perdana Menteri sendiri sebelum ini pernah meminta pihak berkuasa menghapuskan kerenah birokrasi dan menambah baik urusan menjalankan perniagaan.

Konsep yang sama juga boleh digunakan dalam kaedah pemberian bantuan pindahan tunai kali ini.

3) Mekanisme penyaluran

Petugas melakukan pemotretan kepada Keluarga Penerima Manfaat (KPM) saat penyaluran Bantuan Sosial Tunai di Kantor Pos Banda Aceh, Aceh, Sabtu (17/10/2020). Pemerintah Aceh menyebutkan hingga September 2020 telah menyalurkan bantuan sosial senilai Rp.2,3 triliun untuk sebanyak 284.771 KPM melalui Program Keluarga Harapan (PKH), Bantuan Pangan Non Tunai (BPNT) dan  Bantuan Sosial Tunai (BST) untuk meringankan beban ekonomi masyarakat yang terdampak COVID-19. ANTARA FOTO/Ampelsa/hp.

Kerajaan memerlukan masa untuk mengenal pasti mekanisme saluran pemberian yang efisien sebelum menyalurkannya kepada individu layak. — Gambar hiasan

Disebabkan ia merupakan sistem yang baharu, kerajaan pasti memerlukan masa untuk mengenal pasti mekanisme saluran pemberian yang efisien sebelum menyalurkannya kepada individu yang layak.

Tempoh masa tertentu juga pastinya diperlukan bagi memastikan pelaksanaan Institusi Pentadbiran Perpindahan Subsidi berjalan seperti yang diharapkan.

Perlu diakui, setiap sistem baharu yang ingin diperkenalkan sememangnya memerlukan masa yang agak lama sebelum ia benar-benar mampu beroperasi dengan baik secara total.

Situasi itu juga secara tidak langsung akan melewatkan tempoh pemberian subsidi kepada rakyat menerusi pindahan tunai.

Namun, sekiranya kaedah itu berjaya mengelak kelompongan dalam kaedah pengeklasan pemberian bantuan kepada rakyat, kerajaan boleh sahaja mempertimbangkan penubuhan institusi tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram