Pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa


  • Primer
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa bermula pada tahun depan. — Gambar hiasan

KERAJAAN akan melaksanakan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa bermula tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, hasil penjimatan subsidi ini sebahagiannya akan disalurkan terus untuk meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

Beliau berkata demikian ketika ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada Jumaat.

Dalam melaksanakan langkah tersebut, Anwar berkata, kawalan harga sementara yang ditetapkan bagi jualan ayam dan telur akan dilepaskan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan bahan makanan itu di pasaran.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa.

Bagaimanapun, Anwar pada masa sama berkata, perbelanjaan subsidi dan bantuan pada dalam Belanjawan 2024 dijangka meningkat kepada RM81 bilion berbanding RM64 bilion yang diperuntukkan pada tahun ini.

"Peningkatan ini adalah akibat langkah Kerajaan mengekalkan harga barangan bersubsidi untuk rakyat kendatipun berdepan dengan kenaikan luar jangka harga komoditi dunia.

"Sekalipun barangan bersubsidi membantu rakyat dalam meminimumkan kos sara hidup, tetapi hakikatnya subsidi lebih memanfaatkan golongan kaya dan harga yang murah pula telah meningkatkan ketirisan dan penyeludupan ke luar negara.

"Malah, subsidi turut dihirup oleh lebih 3.5 juta orang asing," katanya.

Belanjawan 2024 memperuntukkan sejumlah RM 393.8 bilion dengan RM 303.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus manakala RM 90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Belanjawan kali ini mengandungi perancangan dan komitmen kerajaan bagi hala tuju negara pada tahun depan mengambil kira cabaran ekonomi semasa serta kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Ia merupakan belanjawan kedua di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang menjadi induk kepada dasar-dasar diluncurkan iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12).

Tiga tumpuan utama Belanjawan 2024 adalah tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram