Ibu bersalin dalam lori tengah-tengah lebuh raya di LPT


  • Tular
  • Khamis, 19 Okt 2023

Dr Aliff mengendong bayi yang baru dilahirkan ibunya di dalam lori dekat Kilometer 121, LPT menghala ke Kuantan, Pahang. — Twitter/AliffZaki

SEORANG pegawai perubatan berhadapan pengalaman tidak boleh dilupakan apabila perlu mengendalikan kes ibu bersalin di dalam sebuah lori tangki di tengah-tengah lebuh raya di dalam negara.

Kejadian yang berlaku di Kilometer 121 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, Pahang tersebut dikongsikan sendiri pegawai perubatan terbabit, Dr Aliff Zaki menerusi aplikasi X pada Rabu.

Menerusi ciapan tersebut, Dr Aliff berkata, dia dan pasukannya pada awalnya menerima panggilan mengenai kes tersebut dengan maklumat yang agak minimum mengenai keadaan wanita terbabit.

"Sepanjang persiapan di klinik, dua tiga kali senarai semak barang-barang kerana perlu ‘expect the worst’ (jangkakan yang terburuk).

“Dalam ambulans masing-masing berteka-teki apakah keadaan ibu? Dah bersalin ke belum? Kalau dah, keadaan bayi macam mana?,” katanya.

Sebaik tiba di lokasi, dia berkata, terdapat dua pegawai polis dilihat sudah berada di tepat kejadian sementara pintu lori berkenaan didapati berada dalam keadaan terbuka.

F8ungm0WoAEUJEg

Dr Aliff (tengah) bergambar bersama anggota polis trafik dan dua pegawai kesihatan perubatan sambil mengendong bayi yang baru dilahirkan itu. — Twitter/AliffZaki

Lebih mencemaskan, Dr Aliff berkata, dia turut melihat keberadaan pakaian yang berlumuran dan dan najis di rumput berdekatan kenderaan tersebut.

"Bau tu memang tak disangkal kepekatannya. Tanya pasangan, mana si ibu?. 'Ada dalam lori, di tempat duduk belakang' jawabnya.

"Memanjat lori bersaiz Optimus Prime, nampak dua susuk tubuh terbaring. Si ibu pejam mata, dan ada jasad kecil di celah kangkang. Hati dah berdebar.

"Aku tegur si ibu, 'puan, boleh dengar saya cakap? Buka mata boleh?'. Si ibu buka mata dan sahut 'ye dengar'. Hati lega," ujarnya yang kemudian terus memeriksa keadaan bayi terbabit.

“Mata beralih ke si anak pula, nampak tak bergerak. Alamak, aku pegang kaki bayi, jentik tapak kaki, keluar suara kecil menangis. Hati kembali lega, peluh jantan tak jadi keluar,” ceritanya lagi.

Dr Aliff berkata, dia kemudiannya meneruskan prosedur menyambut kelahiran seperti memotong tali dan membalut bayi dengan kain tuala sebelum membawanya keluar dari lori.

Ujarnya, pesakit wanita tersebut kemudiannya diambil alih untuk diuruskan pegawai lain bagi proses mencuci darah dan pemeriksaan periksa tahap koyak dan membersihkan ibu.

“Ambulans selesai buat U-turn, pesakit dan bayi dimasukkan dan perjalanan ke dewan bersalin Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) diteruskan. Terima kasih pihak LPT, polis trafik dan staf ‘labor room’ HoSHAS kerana memudahkan urusan. Pengalaman sepanjang hayat,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram