[VIDEO] Dah ada nama anak, wanita sarat mengandung maut dirempuh van ‘gila’ sebelum sempat bersalin, bayi gagal diselamatkan


  • Benua
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Tangkap layar video kemalangan tragis itu yang dirakam menerusi CCTV di lokasi.

SEORANG wanita yang sarat mengandung lapan bulan maut selepas dia dan pasangannya dirempuh sebuah van ketika sedang berjalan di laluan pejalan kaki baru-baru ini.

Menurut laporan SBT, kejadian tragis menimpa mangsa dikenali sebagai Gabriela Oliveira, 18, itu berlaku di kawasan kejiranan Itaim Paulista yang terletak di bahagian Timur, Sao Paulo, Brazil.

Insiden yang berlaku pada 20 Ogos lalu itu turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

Berdasarkan klip berkenaan, wanita muda itu pada awalnya dilihat berjalan beriringan di laluan pejalan kaki tersebut.

Kemudiannya, sebuah van berwarna putih yang berada di atas jalan dilihat secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas dengan laju sebelum melanggar kedua-dua pasangan tersebut dari arah belakang.

Akibat daripada perlanggaran tersebut, Gabriela dan bayinya mati akibat kecederaan parah dialami manakala suaminya pula patah di bahagian kaki dan belakang badan.

Difahamkan, pasangan tersebut baru sahaja melangsungkan perkahwinan dan kandungan tersebut merupakan anak pertama daripada hubungan tersebut.

Gabriela sebelum itu dijangka bersalin dalam tempoh beberapa hari lagi dengan dia dan suaminya turut sudah menamakan bayi bakal lahir itu dengan nama Ravi Lucca.

Dalam pada itu, menurut siasatan awal, pemandu van terbabit dilaporkan menyedari masalah teknikal dihadapi kenderaan tersebut sebelum hilang ia kawalan dan terbabas ke kawasan pejalan kaki tersebut.

Pemandu lelaki itu juga difahamkan mengalami kecederaan dan terpaksa dibawa ke hospital tempatan, namun berada dalam keadaan stabil.

Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram