[VIDEO] Polis tahan wanita bergurau, rakam video rendam kepala bayi berusia 3 bulan


  • Benua
  • Rabu, 18 Okt 2023

Tangkap layar video kejadian seorang ibu bergurau melemaskan bayinya yang berusia 3 bulan.

SEORANG wanita ditahan polis Indonesia selepas didapati sengaja melemaskan bayinya berusia tiga bulan ke dalam sebuah baldi dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Pesanggrahan, Jakarta Selatan.

Penahanan itu dibuat susulan tular rakaman video yang menunjukkan tindakannya itu.

Dalam rakaman yang tular di media sosial sejak Selasa, pada awalnya kelihatan tindakan wanita tersebut membawa bayinya ke dalam tandas.

Tidak lama kemudian, wanita itu mula memasukkan kepala bayi itu ke dalam baldi berisi air menyebabkan bayi tersebut menangis akibat sukar bernafas.

"Hello, guys. Kita berenang. Huuu," kata pelaku sambil ketawa dan merakam video perbuatannya itu.

Susulan penyebaran video itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro, Jakarta Selatan, Indonesia telah bekerjasama dengan psikiatri untuk menjalankan siasatan terhadap kes ini.

Mengulas lanjut, Suruhanjaya Kebangsaan Perlindungan Kanak-Kanak (Komnas PA) menyatakan bahawa pelaku mengalami sindrom baby blues atau kemurungan.

“Dia (ibu bayi) mengalami sindrom baby blues dan sedikit tertekan pada saat diagnosis awal,” kata Ketua Umum Komnas PA, Lia Latifah pada Rabu.

Sindrom itu bermaksud tempoh ketidakstabilan emosi pada ibu beberapa hari selepas bersalin.

Secara amnya, sindrom baby blues dicirikan oleh perasaan sedih, kebimbangan, tekanan dan perubahan mood yang melampau.

Pemangku Ketua Umum Komnas PA, Lia Latifah berkata, suspek juga mengaku bertindak demikian kerana berasa tertekan sebab perlu menjaga anak kecil yang ramai.

"Pelaku menyatakan tindakan itu dibuat hanya sebagai gurauan. Namun kami sudah menjelaskan bahawa tindakan itu boleh menyebabkan kematian.

"Pelaku turut memberitahu dia tertekan, stress, dan keliru apabila perlu jaga tiga orang bayi," katanya tanpa mengulas lanjut nasib wanita itu sama ada akan didakwa atau tidak atas perbuatannya.

Malah tarikh sebenar kejadian juga tidak dimaklumkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram