[VIDEO] Sampai guna senapang patah lepaskan tembakan, lelaki kena belasah geng samseng di Kuching


  • Tular
  • Rabu, 04 Okt 2023

Tangkap layar video tular memaparkan lelaki tersebut dipukul oleh sekumpulan individu.

TULAR satu video memaparkan seorang lelaki dipukul oleh sekumpulan individu di Jalan Stephan Yong, Kuching, Sarawak pada lewat petang Rabu.

Menerusi beberapa klip yang dimuat naik seorang pengguna Facebook, Andy Riaz, lelaki terbabit yang memakai T-shirt berwarna biru itu dilihat sudah terbaring dan dipukul berulang kali oleh kumpulan terbabit di atas sebuah jalan.

Terdapat beberapa barangan dan senjata dilihat turut digunakan dalam insiden tersebut antaranya batang getah, kayu besbol serta termasuk selaras senapang patah.

WhatsApp Image 2023-10-04 at 9.02.17 PM

Lelaki berkenaan turut diseret oleh kumpulan tersebut.

Malah, menerusi klip tersebut, sedas tembakan juga didengar dilepaskan daripada senapang berkenaan dipercayai sebagai memberi amaran kepada lelaki tersebut.

Dalam pada itu, salah satu video berasingan turut memaparkan lelaki berkenaan yang masih dalam keadaan sedar dilihat terbaring dan diseret sepanjang laluan pejalan kaki di hadapan deretan kedai oleh beberapa individu.

Difahamkan mangsa sudah membuat laporan polis dengan mendakwa kumpulan samseng itu menuduh dia memecah masuk dan mencuri besi di belakang sebuah kedai di Jalan Stephen Yong.

Mangsa yang penganggur mendakwa dia pergi ke kedai itu kerana mahu berbincang secara baik dengan seorang pekerja perempuan kerana pekerja itu telah menularkan gambarnya di Facebook.

Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram