SESI pembukaan Parlimen Israel terpaksa ditangguhkan ekoran serangan roket Hamas pada Isnin yang menyasarkan ke arah kawasan wilayah haram yang didiami pendatang Yahudi.
Insiden penangguhan tersebut turut dirakam menerusi satu video yang menyaksikan seorang ahli Parlimen sedang berucap sebelum tiba-tiba kedengaran bunyi siren amaran.
"Saya rasa ada bunyi siren", ujar Merav Ben-Ari yang merupakan wakil rakyat dari Parti Yesh Atid.
Susulan daripada itu, Speaker Parlimen Israel, Amir Ohana, meminta semua individu di bangunan tersebut pergi ke tempat perlindungan dengan sesi tersebut ditangguhkan selama 40 minit.
Serangan roket daripada Hamas itu dilaporkan berlaku sejurus selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menamatkan ucapannya pada persidangan tersebut.
Dalam ucapannya, dia antara lain memberikan amaran kepada pasukan pejuang Hezbollah dan Iran agar tidak masuk campur dalam pertempuran antara Hamas dan Israel.
Selain itu, Benjamin turut berjanji untuk menyiasat punca yang menyebabkan rejim Israel gagal untuk mengesan serangan mengejut dilakukan Hamas bermula pada 7 Oktober lalu.
Media Israel pada Isnin melaporkan siren amaran serangan roket dikeluarkan di beberapa bandar dekat wilayah itu termasuk Tel Aviv.
BREAKING: Knesset session in Jerusalem, Israel interrupted by Hamas rocket attack. pic.twitter.com/MPnO0NkxlL
— Breaking 4 News (@Breaking_4_News) October 16, 2023
Pada masa sama, difahamkan sekurang-kurangnya dua pintasan roket dilakukan sistem teknologi pertahanan Israel, Iron Dome.
Setakat Isnin, agensi berita Palestin, WAFA melaporkan lebih 2,800 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan yang dilakukan Israel ke atas Semenanjung Gaza. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram