Anwar hubungi pemimpin Hamas, nyata sokongan tidak berbelah bahagi


  • Primer
  • Selasa, 17 Okt 2023

Gambar pertemuan antara Anwar dan Ismail yang pernah diadakan sebelum ini.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong penuh usaha pemberhentian segera pengeboman dan penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah.

Bagi mencapai tujuan tersebut, Anwar berkata, adalah penting bagi Israel untuk mengetepikan sikap mereka terhadap politik perampasan, dan melakukan gencatan senjata serta-merta dengan Hamas sekali gus berusaha ke arah resolusi keamanan untuk menamatkan konflik yang berlaku.

"Saya mengadakan perbualan telefon dengan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh semalam (Isnin), untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia kepada rakyat Palestin.

"Adalah penting untuk mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan semua individu yang terjejas disebabkan krisis yang berlaku ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Perdana Menteri juga berkata, Malaysia komited untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan terutamanya dalam bentuk makanan dan ubat-ubatan untuk meringankan penderitaan mereka yang memerlukan.

Jumaat lepas, Anwar berkata kerajaan akan menyalurkan bantuan RM10 juta kepada Palestin dan berharap syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta dapat menyumbang bagi meningkatkan jumlah bantuan kepada RM100 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram