EKSKLUSIF

Kenaikan harga barang jejas perbelanjaan anak-anak di IPT


  • Massa
  • Rabu, 15 Dis 2021

KENAIKAN mendadak harga barangan asas memberikan kesan begitu besar buat rakyat.

KENAIKAN mendadak harga barangan asas terutamanya makanan seperti ayam, ikan, sayur dan sebagainya memberikan kesan begitu besar buat rakyat terutamanya kepada mereka yang bergelut untuk meneruskan kehidupan masing-masing termasuklah yang mempunyai tanggungan besar dalam keluarga.

Tinjauan Majoriti mendapati, kenaikan harga barang turut memberi kesan kepada golongan warga emas yang perlu menyara anak masing-masing yang sedang menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT) baik di universiti awam mahupun IPTS.

Seorang ibu, Arison Junus, 67, berkata, dia perlu membahagikan duit untuk perbelanjaan harian dan peruntukan belanja anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti awam di Pulau Pinang walaupun anaknya hanya melakukan pembelajaran secara dalam talian.

"Walaupun anak sekarang belajar dari rumah, mak cik masih perlu menggunakan duit untuk membayar bil internet dan yuran pengajian setiap semester.

"Situasi ini memberi kesan kerana mak cik hanya bergantung pada duit hasil jualan sawit yang kadarnya tidak menentu memandangkan ada masanya turun atau naik setiap bulan," kata ibu kepada lapan orang anak itu.

Bantuan tempoh singkat

Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu berkata, dia sedar akan isu harga barang apabila anak-anaknya menimbulkan persoalan berkenaan kenaikan harga termasuk sayur baru-baru ini.

"Apabila mak cik sendiri tinjau ke pasar ataupun kedai runcit memang terasa ada perbezaan kerana harga sayur kangkung dijual RM4 seikat. Sebelum harga barang naik, mak cik akan menyediakan RM800 tapi kini kos menjadi RM900 " katanya kepada Majoriti.

Dia mengakui perlu berjimat daripada berbelanja membeli 'makanan mewah' kerana peruntukan yang ditetapkan tidak dapat menampung kos berkenaan.

"Sekarang duit yang ada memang cukup untuk perbelanjaan harian dan langsaikan hutang-hutang sahaja. Disebabkan itu mak cik akan membeli barangan asas sahaja kerana bajet memang lari sejak harga barangan meningkat," kata penduduk jati Pahang itu.

Arison juga menerima bantuan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) namun menyifatkan bantuan itu hanya dirasai untuk tempoh singkat.

"Ini kerana ada sahaja urusan harian yang memerlukan mak cik untuk menggunakan duit tersebut lebih-lebih urusan pengajian anak," ujarnya.

Tunaikan janji turun harga barang

Selain itu, ibu kepada empat orang anak, Zurawati Talib juga senada dengan Arison dan menyifatkan kos sara hidup yang meningkat susulan kenaikan harga barang turut memberi kesan kepada perbelanjaannya untuk menampung pengajian anak di menara gading.

Jika sebelum ini, pelukis pelan di sebuah syarikat European Profiles Sdn Bhd itu akan menyediakan belanja RM400 untuk membeli barang keperluan namun kenaikan harga barang barang secara tiba-tiba membuatkan bajetnya menjadi lebih mahal dengan peningkatan kira-kira 10 peratus.

"Bukan bajet untuk perbelanjaan harian sahaja lari malah kos minyak ulang alik ke kolej anak juga lebih banyak daripada biasa.

"Ini belum termasuk barang sampingan lain seperti buku, yuran dan sebagainya," kata Zurawati yang mahu keselesaan anaknya yang sedang menuntut di Kolej Komuniti Tanjung Karang, Selangor, sentiasa terjamin.

Wanita berusia 50 tahun itu berharap, agar kerajaan dapat menunaikan janji untuk menurunkan harga barang menjelang tahun hadapan seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

"Kalau harga barang belum dapat diturunkan lagi akibat faktor luaran, kerajaan perlu sentiasa memaklumkan kepada rakyat agar mereka lebih cakna dengan perubahan harga.

"Selain itu, pengumuman awal penting agar rakyat dapat menguruskan hal kewangan kerana ada segelintir rakyat yang terpaksa mengikat perut disebabkan masalah kenaikan harga barang tersebut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Harga barang, naik, sayur, warga emas, tinjauan, IPT