
KENAIKAN harga barangan dan makanan sememangnya memberi kesan dari sudut kewangan kepada rakyat di negara ini.
Perkara ini sekali gus membimbangkan rakyat lebih-lebih lagi ketika sektor ekonomi baharu sahaja dibuka, selepas dua tahun terjejas akibat pandemik Covid-19.
Antara harga barangan yang mengalami kenaikan serta mendapat perhatian rakyat termasuk ayam, telur dan sayur-sayuran.
Baru-baru ini, Majoriti menerima aduan daripada warga emas yang mana anak mereka masih menuntut di institut pengajian tinggi di salah sebuah negeri di negara ini.
Menurut Arison Junos, 67, beliau hanya bergantung kepada wang hasil jualan buah kelapa sawit yang mana harganya tidak menentu setiap bulan.
Kata peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu, beliau perlu membayar bil perkhidmatan internet dan yuran pengajian setiap semester memandangkan anaknya hanya belajar dari rumah ketika ini.
"Apabila mak cik sendiri tinjau ke pasar ataupun kedai runcit memang terasa ada perbezaan kerana harga sayur kangkung dijual RM4 seikat," katanya.
Berdasarkan rintihan rakyat ini, tidak mustahil kerajaan akan berdepan dengan golongan 'bendera putih' jika gagal menangani isu kenaikan harga barangan dalam kadar segera.
Naik harga sawit
Prihatin dengan perkara itu, pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai mencadangkan supaya harga sawit mentah perlu terus dinaikkan secara berkekalan.
Beliau berkata, harga sawit mentah ketika ini yang sudah meningkat dapat memberi ruang untuk menampung kenaikan harga barang dan makanan asas.
Jelasnya, perkara itu disebabkan pasaran eksport sangat menarik, ditambah pula dengan permintaan tinggi oleh beberapa negara seperti India dan China.
"Ini nampaknya ada prospek lebih baik di masa hadapan," katanya kepada Majoriti.
Justeru, katanya, petani kelapa sawit hari ini tidak perlu berasa terlalu tertekan berbanding kumpulan berpendapatan tetap, yang mana gaji bulanan mereka tidak berubah sedangkan kos sara hidup meningkat.
"Dalam masa sama, yuran pengajian tidak begitu naik, ada banyak keadaan ia (yuran) menurun di universiti swasta, universiti awam tetap dan ada kemungkinan dapat pembiayaan scholarship (biasiswa) dan sebagainya," katanya.
BARJOYAI mengesyorkan bantuan berterusan untuk kumpulan sangat memerlukan melalui 'food stamp' dan bakul makanan bagi setiap rumah.
Ketika ditanya mengenai bantuan diberi kerajaan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang bersifat 'one-off' dan sementara, Barjoyai berkata, perkara itu sudah dijangka kerana bantuan kepada kumpulan isi rumah tertentu seperti individu hilang pekerjaan dan pendapatan terjejas tidak diberi ketika zaman pemerintahan kerajaan terdahulu.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan ketika diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi beberapa bantuan yang disifatkan sebagai arah baharu dalam ekonomi Malaysia, yang dijangka tidak berterusan dan bukan model ekonomi negara ini.
Risiko kluster kemiskinan
Beliau berkata, ekonomi negara ini menekankan pasaran bebas dan ia adalah kesan daripada kegawatan ekonomi serta kenaikan harga barang, yang mewujudkan satu kumpulan besar orang miskin.
Katanya, lebih 600,000 isi rumah kumpulan miskin tegar diumumkan baru-baru ini, namun beliau tidak kemungkinan ada banyak lagi kumpulan hilang pendapatan dan kurang pendapatan yang akan lebih terjejas.
"Di hujung bulan ini kita akan tengok bila moratorium ditamatkan banyak kumpulan yang akan jadi muflis misalnya. Semuanya akan memerlukan bantuan dan kaedah bantuan yang ada sekarang ini tidak berkesan sebab perlu disalurkan melalui KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) atau LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), malah ia memakan masa.
"Apa yang kita perlukan adalah bantuan berterusan untuk kumpulan yang sangat memerlukan melalui food stamp, bakul makanan yang perlu diberikan di setiap rumah, bagi memastikan setiap rumah ada makanan atas meja. Itu slogan yang dilaungkan dalam Keluarga Malaysia," jelasnya.
Kaji semula punca
Sementara itu, Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, kerajaan perlu mengkaji semula punca kenaikan harga barang import ketika ini.
Pensyarah Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, perkara itu turut mengambil kira sama ada ia disebabkan faktor pertukaran mata wang asing atau pihak pengeksport sengaja menaikkan harga barang.
Katanya, sekiranya kenaikan itu disebabkan pertukaran wang asing, maka nilai mata wang Malaysia adalah lebih rendah berbanding wang negara pengeksport itu, yang mana transaksi jual beli kebiasaannya menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).
"Jika betul harga barang naik disebabkan pertukaran wang asing, mungkin ada alasan lain. Mungkin pengeksport terpaksa menaikkan harga barang disebabkan kos penghantaran naik.
"Jadi, kerajaan pun kena tengok barang tu kena cukai atau tidak bila masuk ke Malaysia," jelasnya.
ABU Sofian menyarankan cukai barangan import dihapuskan atau diturunkan sehingga setengah harga jika kadar dikenakan tinggi. — Facebook
Abu Sofian turut menyarankan kerajaan supaya cukai barangan import dihapuskan atau diturunkan sehingga setengah harga sekiranya kadar yang dikenakan tinggi.
Justeru, katanya, sekiranya penurunan kadar cukai berlaku, maka harga barang tidak mengalami kenaikan secara mendadak.
"Kos 'input' di Malaysia sepatutnya berkurang. Kalau kos itu terpaksa dinaikkan, maknanya kita boleh justify (jelaskan) sebab ia dinaikkan. Tapi masalahnya kenaikan itu 'gila-gila' sampai 100 hingga 200 peratus yang perlu diambil kira.
"Jadi, kenaikan harga barang akan beri kesan kepada kebanyakan rakyat kecuali golongan T20 yang mungkin kurang terkesan berbanding B40 dan M40. Oleh itu, kerajaan kena ambil langkah macam mana nak kawal harga barang," katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya pada Rabu dilapor mengesyorkan kerajaan supaya memansuhkan monopoli permit import bagi memastikan harga barangan dapat dikawal.
Beliau berkata, permit import harus dibuka secara bebas kepada umum agar persaingan sihat dapat berlaku.
"Dalam pembukaan semula ekonomi ini terdapat pihak yang mengambil kesempatan. Ia seolah-olah membalas dendam akibat tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang terlalu lama.
"Peniaga di pasar terpaksa menaikkan harga ayam sehingga sekilo RM10.70, harga sayuran naik mendadak, brokoli berharga RM20, kubis bunga RM16, cili merah RM19, barang basah naik melonjak sehingga membebankan rakyat.
“Bagaimanakah nasib rakyat yang tinggal di bandar, khususnya di Kuala Lumpur dan Putrajaya? Kita tidak ada tanah untuk bercucuk tanam. Apatah lagi untuk membuka ladang ternakan ayam, itik dan lembu,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram