PEMBAYARAN Fasa 1 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) baru sahaja dibuat secara berperingkat bermula Selasa dan sedikit sebanyak memberi kelegaan buat rakyat.
STR Fasa 1 membabitkan kategori penerima isu rumah berjumlah empat juta dengan kadar RM300, 1.2 juta warga emas tanpa pasangan (RM100), manakala 3.5 juta golongan bujang (RM100).
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata program bantuan tunai untuk B40 di bawah Kementerian Kewangan itu dijenamakan semula kepada STR dan akan terus ditambah baik.
Najib Razak memperkenalkan BR1M.
BR1M
Untuk rekod, bantuan yang diberikan kepada rakyat ini dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 7 Oktober 2011.
Pada mulanya ia hanya bantuan RM500 ringgit kepada isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000. Setiap tahun selepas itu, BR1M sentiasa diperbaiki hinggalah pada Bajet 2016, nilai bantuan ditambah menjadi RM1,000.
BR1M ditukar kepada BSH di bawah kepimpinan Mahathir.
BSH
Pada 2018, BR1M kemudian ditukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH). Menerusi BSH, isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.
Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM750. Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.
Muhyiddin menukar BSH kepada BPR.
BPR
Pada November 2020, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan BSH akan digantikan dengan Bantuan Prihatin Rakyat.
Isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dengan seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200 manakala isi rumah yang mempunyai dua anak atau lebih akan menerima RM1,800.
Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501-RM4,000 dan mempunyai seorang anak akan menerima bantuan RM800 manakala isi rumah yang mempunyai 2 orang anak atau lebih akan menerima RM1,200,” katanya.
Sementara itu, isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001-RM5,000 dan seorang anak akan menerima RM500 manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih, RM750.
BPR ditukar kepada BKM oleh Ismail Sabri.
BKM
Pada tahun 2022, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) telah menggantikan Insentif kewangan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada tahun sebelum ini.
Bagi mereka yang telah menerima Bantuan BPR tidak perlu membuat sebarang permohonan baru. Anda hanya perlu kemaskini dan membuat semakan jika ada sebarang perubahan maklumat anda jika perlu.
Menerusi pembayaran itu, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing dengan bayaran ecara berperingkat.
Pengagihan bantuan dibuat lebih menyeluruh seperti warga emas tiada pasangan dan golongan bujang masing-masing akan menerima BKM sebanyak RM600 dan RM350, bergantung kepada had pendapatan.
Bantuan sebanyak RM3,000 bayaran maksimum turut diberikan kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan anak, iaitu kenaikan RM500 berbanding RM2,500 tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram